Gangguan neurologi kritikal merujuk pada penyakit sistem saraf pusat dan sekitarnya yang serius, biasanya berkait rapat dengan masalah di bahagian otak. Penyakit yang tergolong dalam masalah itu termasuk epilepsi, Parkinson, penyakit serebrovaskular seperti strok dan paling serius, tumor otak.
Pesakit tumor otak biasanya mengalami gejala sakit kepala, penglihatan kabur, lemah, gangguan pertuturan, pendengaran dan pitam yang menandakan rawatan diperlukan segera sebelum sel barah merebak dalam otak.
Masalah direkodkan dalam kalangan pesakit tumor otak yang biasa berlaku adalah metastatik (sebaran sel kanser) dari tempat lain dalam badan sedangkan hanya sebahagian kecil yang bermula di otak.
Oleh kerana ketumbuhan ini terlindung di sebalik tengkorak, pesakit hanya berjumpa doktor apabila sudah lewat, tanda klinikal sudah ketara sebaik struktur otak dihimpit oleh pembesaran ketumbuhan itu.
Di sinilah bermulanya dilema pesakit apabila mereka perlu menjalani pembedahan bagi membuang tumor berkenaan menerusi kaedah lama yang dikenali sebagai pembedahan terbuka. Pembedahan kaedah konservatif itu memberi kesan mendalam terhadap pesakit apabila mereka membayangkan proses berkenaan terlalu rumit selain melalui tempoh pemulihan yang panjang.
Menerusi revolusi teknologi terbaru dikenali dengan Leksell Gamma Knife Icon yang kini diperkenalkan di Malaysia, pesakit tidak perlu khuatir mengenai komplikasi pembedahan terbuka dan tempoh pemulihan panjang.
Kemampuan pisau gamma itu bukan saja terhad dalam membuang sel kanser terlindung di sebalik tengkorak dengan lebih baik, ia juga merawat masalah neurologi lain seperti epilepsi, metastasis kanser otak, neuroma akustik dan Parkinson.
Pakar Perunding Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway, Dr Ravi Krishnapillai berkata, kelebihan buat pakar bedah saraf apabila menggunakan prosedur terbabit ialah tempoh rawatan lebih singkat selain hasil lebih efektif berbanding pembedahan otak konvensional.
“Teknologi pisau gamma membolehkan doktor menyasarkan bahagian otak bermasalah secara lebih tepat dengan bantuan pelbagai teknik pengimejan termasuk pandangan tiga dimensi (3D) mengenai sasaran dan struktur otak sekitarnya.
“Tambahan pula dengan versi terbaru ini membolehkan pakar bedah merawat kawasan tisu yang lebih besar tanpa sebarang komplikasi ketara daripada penggunaan dos radiasi yang lebih tinggi. Jadi masalah kesihatan otak lebih serius dan tidak boleh dirawat dalam dos tunggal (seperti tumor besar) kini boleh ditangani dalam tempoh beberapa minggu sahaja,” katanya.
Tambahnya, pembedahan otak menerusi radiasi yang dipancarkan melalui pisau gamma itu dilihat sebagai alat paling tepat untuk memusnahkan tumor di dalam otak tanpa menjejaskan keadaan saraf lain yang berfungsi dengan baik. Sistem rawatan itu menggunakan rangkaian 192 pancaran sinar gamma berupaya menghasilkan sinaran radiasi pekat dan berkuasa disatukan di bahagian terjejas.
Teknologi Kawalan Dos Adaptive pula memastikan jumlah radiasi yang tepat menuju sasaran dari setiap arah. Sementara itu Pengarah Urusan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sunway, Lau Beng Long menyifatkan kemasukan teknologi itu ke Malaysia membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan terutama membabitkan otak dan saraf tempatan.
“Satu pencapaian apabila ketika ini di Asia Tenggara, Malaysia antara memiliki teknologi yang boleh meningkatkan kualiti perkhidmatan perubatan untuk dinikmati pesakit barah terutamanya.
“Rawatan teknologi ini lebih relevan kerana kredibiliti dalam merawat pesakit mengalami masalah saraf dan tumor otak lebih dipercayai selain ia mengubah pengalaman pesakit daripada situasi kurang selesa kepada rawatan dos radiasi lebih rendah tanpa menjejaskan fungsi tisu sihat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment