Mungkin ramai yang masih terkejut dengan pengambil alihan Syarikat Grab terhadap Syarikat Uber di Asia Tenggara baru-baru ini. Paling memberi kesan adalah para pemandu Uber yang bimbang, pengambil alihan ini akan menyekat dan menutup periuk nasi mereka.
Dalam hal ini, sebenarnya tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Pengambil alihan ini sebenarnya adalah salah satu bentuk perniagaan strategik kedua-dua syarikat ini memandangkan sistem dan pengurusan syarikat adalah hampir sama. Justeru, bagi memantapkan lagi perjalanan kedua-dua syarikat ini, pengambil alihan ini dilihat satu langkah paling tepat.
Tambahan pula, sistem operasi kedua-dua syarikat ini masih berjalan seperti biasa. Cuma, para pemandu Uber perlu menyesuaikan diri dengan sistem Grab yang dianggap hampir sama sahaja.
Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) memberitahu, pihaknya akan terus memantau dan menyelia sektor e-hailing berdasarkan rangka perundangan dan polisi yang sedia ada agar industri ini mampu berkembang sejajar dengan medan persaingan yang sihat, tahap keselamatan operasi yang baik, serta memastikan kebajikan penumpang dan pemandu sentiasa terpelihara.
Bagi memastikan hak pengguna terjamin di bawah gabungan Grab-Uber, pihak SPAD akan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Malaysia Competition Commission) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang relevan agar pengguna dilindungi daripada amalan yang tidak adil.
Pada masa yang sama, SPAD akan memastikan bahawa industri teksi dan e-hailing akan beroperasi dan bersaing secara adil di bawah inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme dan daya saing teksi konvensional.
Melihat dari kenyataan ini serta tujuan utama pengambil alihan ini, ingin ditanyakan, apa lagi yang perlu dibimbangi? Sehingga hari ini, SPAD dan kerajaan tidak pernah mengabaikan mana-mana pihak yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran yang adakalanya boleh mengancam kewujudan syarikat itu sendiri.
0 comments:
Post a Comment