My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 27 March 2018

    Cabaran Mentor Bentuk Protege



    Siaran pengenalan program realiti Mentor Otai minggu lalu menyaksikan lapan daripada 12 protege mara ke persaingan sebenar bagi merebut gelaran juara sulung program itu serta meraih hadiah wang tunai RM100,000.

    Kemampuan Azran dan Elvira yang dipilih sebagai protege Misha Omar, Alina dan Ayie (Siti Sarah), Azril dan Wan (Tam Spider) serta Azee dan Lokman (Zarul Husin) mula diuji pada minggu kedua Mentor Otai yang bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam dan turut disiarkan menerusi TV3 pada Ahad, jam 9 malam.

    Mengambil kira latar belakang, ada di antara mereka iaitu Azee dan Alina sudah ada pengalaman dengan menyertai pelbagai pertandingan antaranya Sinaran Passport Kegemilangan terbitan TV3 pada 1996. Manakala Azran dan Elvira pula berpengalaman sebagai penyanyi latar untuk artis terkenal dan boleh dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri.

    Hanya Ayie, AJ, Wan serta Lokman yang tidak mempunyai pengalaman profesional dan di sinilah terletaknya cabaran buat mentor untuk membentuk mereka sebaik mungkin agar berupaya bersaing dalam Mentor Otai.

    Minggu kedua ini menyaksikan Azee menyampaikan lagu Segalanya Pasti dendangan asal Aida Agil, Ayie - Bunga Angkasa (Terra Rossa), Azran - Ku Pendam Sebuah Duka (Khadijah Ibrahim), Irwan - Mengapa Sepi Tanpa Berita (Steps), Alina - Samar Bayangan (Nicky Astria), Lokman - Seksa (Ukays), AJ - Benci Bilang Cinta dan Elvira - Menghitung Hari (Kris Dayanti).

    Sudah tentu pengalaman menjadi pengukur apabila Azee, Alina dan Elvira berjaya memberikan persembahan terbaik sehingga menerima pujian juri iaitu Edry Abdul Halim dan Mark Adam. Ayie, Irwan dan AJ pula berjaya menyempurnakan tugasan yang diberikan dengan baik.

    Namun, agak malang bagi Lokman yang gagal mengatasi rasa gugup sehingga menampilkan persembahan kurang memuaskan. Azran pula berdepan masalah peribadi yang turut mempengaruhi corak persembahan sehingga dikritik juri.

    Bagaimanapun Lokman dan Azran yang menduduki dua tangga terbawah menarik nafas lega apabila Edry memberi peluang kepada mereka meneruskan cabaran pada minggu ketiga tanpa sebarang penyingkiran pada minggu kedua. Misha yang ditemui memuji komitmen protegenya Elvira yang terpaksa membahagikan masa antara komitmen kerja dan Mentor Otai.

    “Dia baru sampai dari Hong Kong pada hari sama program ini berlangsung dan tak dapat menjalani latihan sepenuhnya dengan pemuzik pengiring. Saya patut puji kesungguhannya kerana dia ke sana atas urusan kerja dan sudah beritahu perkara ini awal-awal kepada saya. Ini bukan bermaksud dia ambil mudah cabaran untuk bertanding,” katanya.

    Dalam pada itu, Misha mengakui Azran pula terpaksa berjaga malam bagi menguruskan anak perempuannya yang demam panas sehinggakan dia tidak cukup tidur. “Saya kata pada Azran, walau apa pun persembahan perlu diteruskan. Saya pun ada anak dan pernah melalui situasi ini, tetapi kena fokus dengan komitmen kerja.

    “Alhamdulillah, Edry bagi peluang untuk Azran meneruskan cabaran dan saya akan pastikan dia bersedia sepenuhnya untuk persembahan seterusnya,” kata Misha.

    Tam pula bertindak di luar jangkaan apabila memilih Wan yang amatur sebagai protegenya. Bagaimanapun dia mengakui Wan mempunyai keistimewaan tersendiri yang boleh digilap dalam Mentor Otai.

    “Saya sukakan penyanyi begini kerana senang untuk dibentuk. Dia ada pengalaman menyanyi, tapi tak banyak. Wan ada suara yang baik jika pandai memanfaatkannya. Secara profesional Wan belum pandai menggunakan suaranya. Itu yang buatkan saya teruja untuk ambil dia. Mungkin mentor lain ada cara sendiri, tapi saya tetap gembira dengan dua protege saya,” katanya.

    Tam berkata, dia memegang prinsip ‘from zero to hero’ dan inilah yang cuba dipraktikkan buat Wan dan AJ. “Memang ada risiko tapi saya akan buat yang terbaik. Sekiranya protege saya kecundang di sini tak bermaksud dia kecundang di luar nanti.

    “Ia bergantung pada nasib dan mungkin platform ini boleh digunakan untuk memperkenalkan nama mereka kepada peminat,” katanya.

    Bagi Alina pula, meskipun mentornya muda, dia tetap menghormati Sarah yang banyak memberikan tip berguna untuk mempebaiki corak persembannya. “Semua pujian yang dilontarkan kepada saya malam ini bukan untuk saya, tapi perlu ditujukan buat Sarah kerana dia yang membentuk saya sehingga dapat berikan yang terbaik.

    “Mungkin orang kenal saya menerusi pembabitan dalam Sinaran Passport Kegemilangan dan Kilauan Emas, tetapi untuk Mentor Otai, saya letakkan diri sebagai orang baru dan perlu belajar banyak perkara,” katanya.

    Alina turut mengakui sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada dan tidak terbuai dengan pujian yang diberikan pelbagai pihak terhadap persembahannya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Cabaran Mentor Bentuk Protege Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top