My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 29 March 2018

    Penjara 10 Tahun



    Mahkamah Tinggi di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun, masing-masing terhadap dua individu warga Indonesia dan seorang warga tempatan kerana cuba menyertai kumpulan pengganas di Bandar Marawi, Filipina, tahun lalu. 

    Hakim Ravinthran N Paramaguru membacakan hukuman itu selepas tertuduh, Nor Azmi Zahyi, 49, dari Selangor; Ali Misron, 36, dari Aceh, Indonesia dan Faisal, 24, dari Jawa Tengah mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan kepada mereka.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan kerana dengan niat untuk ke luar negara bagi tujuan membuat persiapan melakukan keganasan di sebuah negara.

    Ravinthran turut memerintahkan Ali Misron menjalani hukuman penjara selama dua tahun lagi kerana memiliki barangan yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan. 

    Bagaimanapun, Ali Misron diperintah menjalani hukuman itu secara serentak bermula pada tarikh ditangkap. Hakim turut memerintahkan Faisal menjalani hukuman 10 tahun serentak dengan satu lagi hukuman penjara lima tahun yang sedang dijalaninya di Penjara Pusat Kota Kinabalu.

    Penjara lima tahun bermula dari tarikh ditangkap itu dijalani Faisal selepas mengaku salah memiliki tiga bilah pisau ketika ditangkap apabila pertuduhan kes itu dibacakan di Mahkamah Majistret, di sini, pada 21 Mac lalu.

    Faisal dan Ali Misron diwakili peguam Farazwin Haxdy yang dilantik oleh pihak Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu, manakala Nor Azmi tidak diwakili peguam. Pada 15 Julai 2017, Nor Azmi dan Faisal ditahan unit anti pengganas Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di hadapan kedai Jashidah Butik Collection, di Jalan 3, Sandakan, jam 12.20 tengah hari.

    Ali Misron ditangkap di Lapangan Terbang Sandakan pada jam 6.15 petang pada hari sama. Tertuduh ketika itu memiliki 14 gambar dan empat video dalam telefon bimbitnya yang berkaitan dengan daesh.

    Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, meminta mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira tindakan keganasan bukan perkara baharu memandangkan mereka berniat untuk menyertai pertempuran menentang kerajaan Filipina ketika darurat di Marawi.

    “Siasatan mendedahkan ketiga-tiga mereka ada berkomunikasi melalui Facebook Messenger menggunakan Tornado30 (kumpulan bicara) sejak 29 Mei 2017 sehingga mereka ditangkap.

    “Dalam kumpulan bicara itu, mereka menggunakan nama akaun seperti ‘Puting Beliung Tornado’ dan ‘Panglima Hitam’ (kedua-dua untuk Nor Azmi), ‘Taher Faisal Faisal’ (Faisal) dan ‘John Raven’ (Ali Misron).

    “Mereka merancang untuk ke Pulau Tawi-Tawi melalui jalan laut. Perjalanan adalah dirancang bagi membolehkan mereka [berjihad’ di Marawi dan menyertai operasi kumpulan daesh di selatan Filipina. Pada hari ditangkap, mereka merancang untuk berjumpa di Masjid Jamek Bandar Sandakan,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Penjara 10 Tahun Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top