Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mencatatkan peningkatan jualan memberangsangkan sebanyak 13.1 peratus kepada 34,800 unit kenderaan berbanding 30,800 unit yang dijual dalam tempoh dua bulan pertama tahun lalu.
Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin berkata, dengan sokongan kukuh terhadap tawaran model terkini di samping permintaan sihat bagi model lain, pengeluar kereta itu mengunjurkan penguasaan pasaran bagi Februari tahun ini melepasi 41 peratus.
“Jumlah penguasaan pasaran itu bersamaan dengan 17,100 unit kenderaan yang dijual dengan anggaran jumlah pengeluaran industri (TIV) sebanyak 41,000. Daripada jumlah 17,100 unit, 6,500 unit adalah model Myvi, 5,000 (Axia), 3,700 (Bezza) dan 1,900 (Alza).
“Malah, bagi sebarang pertanyaan dan tempahan, kami meminta pelanggan berurusan dengan kakitangan Perodua di cawangan Perodua yang sah,” katanya di sini, semalam. Syarikat pengeluar kereta itu menyasarkan menjual kira-kira 209,000 unit kenderaan tahun ini iaitu peningkatan sebanyak dua peratus berbanding 204,900 unit yang dijual tahun lalu.
Sementara itu, Perodua setakat ini sudah menyerahkan 28,000 unit Myvi iaitu hampir separuh daripada 60,000 tempahan keseluruhan yang diterima. Zahari berkata, berdasarkan situasi memberangsangkan itu, pihaknya akan meningkatkan pengeluaran. Menurutnya, pelanggan yang menempah Myvi baru kemungkinan menerima kereta mereka pada cuti Hari Raya.
0 comments:
Post a Comment