Misteri bau busuk dari dalam almari pakaian sebuah rumah yang dihuni tiga lelaki warga Nepal membongkar penemuan mayat seorang wanita Indonesia dalam keadaan terduduk dan telah kembung di sebuah flat Green Garden, Paya Terubong di sini kelmarin.
Mangsa, Santi Restauli Simbolon, 25, yang bekerja sebagai operator kilang pembuatan peralatan industri di Bayan Lepas di sini ditemui oleh salah seorang penghuni rumah berkenaan kira-kira pukul 10 malam.
Wanita malang berasal dari Perbaungan, Sumatera Utara itu dipercayai dibunuh pada Ahad lalu oleh kekasihnya yang merupakan lelaki Nepal dengan cara lehernya dicekik sebelum mayat mangsa disumbat di dalam almari pakaian dan dikunci dari luar.
Suspek berusia 27 tahun itu menyewa di rumah flat tersebut bersama dua lagi rakan senegaranya dan mereka bekerja sebagai operator kilang bersama mangsa. Rumah tersebut mempunyai dua buah bilik tidur dan suspek tinggal sebilik bersama seorang rakan lelakinya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, rakan suspek yang terhidu bau busuk telah bertindak memecahkan pintu bilik dari luar dan juga almari pakaian yang dikunci menggunakan mangga.
0 comments:
Post a Comment