VIVO Technologies Sdn Bhd (Vivo Malaysia), pengedar telefon pintar jenama Vivo, menyasarkan untuk berada pada kedudukan tiga terbaik dalam pasaran telefon pintar di Malaysia pada tahun ini daripada keempat pada masa ini.
Pengurus Jenama Vivo Malaysia, Simeon Sia, berkata, sasaran itu akan dipacu melalui pengenalan model telefon pintar terbarunya iaitu Vivo V9 yang dihasilkan untuk pengguna kategori pertengahan dan berusia antara 18 hingga 35 tahun.
"Kami lihat sasaran ini mampu dicapai melalui model ini dan beberapa lagi model lain yang akan dilancarkan sepanjang tahun ini," katanya pada pelancaran telefon pintar Vivo V9 di Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia, Mike Xu. Vivo V9 menawarkan 90 peratus nisbah skrin ke badan dan ia turut dilengkapi dengan ciri kecerdasan buatan (AI) serta rekaan nipis dan bergaya bagi memenuhi keperluan pengguna dalam mendapatkan gambar yang baik dan menikmati pengalaman mudah alih optimum.
Ia memiliki saiz skrin seperti telefon pintar 5.5 inci namun ditawarkan dengan saiz skrin 6.3 inci, kamera depan 24 megapiksel (MP), dwi kamera belakang 16 MP + 5 MP dan dilengkapi Android 8.1 OS serta dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 626 Octa-core.
Sia berkata, syarikat berhasrat untuk memasarkan kira-kira 20,000 unit telefon pintar Vivo V9 dalam tempoh sebulan pertama selepas ia dilancarkan. "Vivo V9 direka khusus bagi meningkatkan pengalaman pelanggan, merakamkan gambar terbaik, menikmati hiburan setiap masa di mana saja dan menyelesaikan tugasan mereka melalui telefon pintar ini," katanya.
Vivo V9 didatangkan dalam tiga warna iaitu hitam, emas dan mutiara dan ia boleh didapati di pasaran mulai 31 Mac ini melalui cawangan runcit Vivo dan pengedar sah di seluruh negara pada harga RM1,399.
0 comments:
Post a Comment