Sebagai kenderaan segmen A popular jenama Korea, Kia Picanto bukan sahaja tampil radikal, malah memecah dominasi penguasaan kereta jenama tempatan dalam kategori kompak di negara ini. Generasi ketiga serba baru dilancarkan Januari lalu menyerlahkan gaya dan rekaan futuristik dengan pelbagai ciri diperkemas, sesuai untuk mereka yang mahukan ciri kenderaan harian berbeza.
Bagi membuktikan pengalaman istimewa memandu model terbaru Kia Picanto, pengedar utama jenama Kia tempatan, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd (Naza Kia) baru-baru ini memberikan peluang kepada media memandu ujinya dari Petaling Jaya, Selangor ke Bandaraya Melaka.
Sebanyak 13 unit tersedia untuk dibawa melalui jalan kampung dan lebuh raya sepanjang sesi itu, membabitkan jarak perjalanan melebihi 200 kilometer (km). Keterujaan terus memuncak dan kupayaan jentera lantas diuji sebaik konvoi dilepaskan apabila terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya untuk keluar dari ibu kota.
Ternyata enjin 1.2L MPI DOHC beroperasi dengan baik ketika jalan sesak selain kuasa yang mencukupi untuk memecut atau memintas kenderaan lain. Padanan kotak gear transmisi automatik empat kelajuan membantu penggunaan bahan api efisien, sesuai dengan saiznya yang kompak dengan menyalurkan pecutan responsif.
Dibekalkan dengan kuasa 81PS manakala tork maksimum 122Nm, pecutan di lebuh raya tidak mengecewakan apabila jentera penulis mampu memecut hingga mencapai kelajuan 160 kilometer sejam (km/j) manakala pengendalian tetap stabil walaupun ketika selekoh.
Rekaan luar model ini mendapat nafas baru apabila didatangkan bersama lampu hadapan projektor dan lampu nyalaan siang (DRL) manakala lampu isyarat LED serta rim 14 inci melengkapkan bentuknya. Jarak roda 2,400 milimeter (mm), lebih 15mm berbanding model sebelumnya menjadikannya kelihatan tegap dan sporty.
Bahagian bampar juga diperkemaskan dengan rekaan jeriji moden yang menyerlahkan gaya terbaru Picanto selain lampu belakang elegan dan jelas.
Menyentuh mengenai ruang dalaman, jelas ia menyerlah dengan ciri terkini seperti stereng pelbagai fungsi, paparan meter analog dan butang penghidup enjin pula adalah unsur premium standard ditawarkan varian baru ini.
Sistem multimedia dengan skrin sentuh LCD tujuh inci ‘terapung’ dengan kamera undur dan fungsi sedia ada untuk Apple CarPlay dan Android Auto membolehkan pemandu menghubungkan telefon bimbit mereka dengan kenderaan untuk tujuan komunikasi lebih selamat.
Rekaan kontur kerusi selesa dengan bahagian penumpang boleh direbahkan sehingga mampu mencipta ruang seluas 1,010 liter untuk kargo. Ketinggian kerusi dikurangkan 10mm dan ini memberi ruang kelegaan kepala 3mm lebih luas termasuk bahagian kaki dipanjangkan sebanyak 15mm untuk keselesaan.
Untuk perlindungan, kerangka dibina dengan ciri keselamatan tertinggi melalui Advanced High Strength Steel (AHSS) yang kukuh berbanding sebelumnya selain berat keseluruhan dikurangkan sebanyak 23 kilogram (kg).
Ketika meluncur di laluan berbukit dan berselekoh di sekitar Lenggeng, penulis tidak merasa olengan ketara, hasil sistem gantungan daripada MacPherson dan gandar Coupled Torsion Beam Axle (CTBA) pada roda belakang.
Selain keselesaan pemanduan, aspek keselamatan tetap diutamakan apabila Picanto serba baru ini dilengkapi enam beg udara, tali pinggang keledar untuk semua penumpang, sistem pengesan parkir belakang, ISOFIX, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Kawalan Cengkaman (TRC).
Secara keseluruhannya, penulis mengakui jentera kompak Kia ini seronok untuk dipandu selain ciri terkini dan rekaan futuristik serta berbeza berbanding pesaing segmen sama. Kelebihan dalam elemen keselamatan adalah terbaik dalam kelasnya manakala kos alat ganti berpatutan menjadi daya penarik untuk pembeli.
Bagi pasaran tempatan, lima warna ditawarkan iaitu Pop Orange, Lime Light, Honey Bee, Clear White dan Titanium Silver. Kia Picanto serba baru ini berharga RM49,888 (tanpa insurans) dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan. ENJIN 1.2L menawarkan penggunaan bahan api efisien.
KIA PICANTO
• ENJIN: 1.2L MPI DOHC
• KUASA MAKSIMUM: 81 PS @ 6,000 rpm
• TORK MAKSIMUM: 122 Nm @ 4,000 rpm
• TRANSMISI: Automatik empat kelajuan
• KAPASITI BAHAN API: 35 liter
• CIRI KESELAMATAN: ABS, BA ESC, TRC, ISOFIX dan kerangka AHSS
• HARGA: RM49,888 (tanpa insurans)
0 comments:
Post a Comment