GRAB mengumumkan pengambilalihan operasi Uber Asia Tenggara secara rasmi daripada Uber Technologies Inc. Perjanjian itu akan menyaksikan Grab melaksanakan integrasi dengan perniagaan perkongsian perjalanan dan penghantaran makanan Uber di rantau ini melalui platform pengangkutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan berkata, pengambilalihan itu menandakan permulaan era baru di mana penggabungan itu menyaksikan ia menjadi peneraju dalam platform dan kecekapan kos di rantau ini.
"Melalui penggabungan itu, Grab akan menjadi platform mudah alih atas talian ke luar talian (O2O) pertama di Asia Tenggara dan pemain utama dalam segmen penghantaran makanan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, Grab akan mengembangkan perniagaan GrabFood sedia adanya di Indonesia dan Thailand kepada dua lagi negara iaitu Singapura dan Malaysia. Ia berikutan integrasi perniagaan Uber Eats dengan GrabFood yang dijangka berada di semua negara utama Asean menjelang separuh pertama 2018.
Untuk meminimumkan gangguan, Grab dan Uber akan bekerjasama bagi memindahkan segera pemandu dan penumpang Uber, pelanggan Uber Eats, rakan perniagaan dan penghantaran ke platform Grab.
Aplikasi Uber akan terus beroperasi selama dua minggu untuk memastikan kestabilan pemandu Uber yang sedang beralih ke Grab manakala, Uber Eats akan beroperasi sehingga akhir Mei di mana selepas itu rakan restoran dan penghantarannya akan berpindah ke GrabFood.
0 comments:
Post a Comment