HASRAT kanak-kanak perempuan mahu membeli beg sekolah baru hasil usaha sendiri tercapai selepas mengumpul RM370 daripada bayaran khidmat swafoto bersama orang ramai dengan menggayakan pakaian dan solekan ala watak seram Annabelle.
Rosabelle Rony, 7, atau lebih mesra disapa Bella tampil dengan personaliti sebuah filem seram terkenal itu ketika ibunya membuka gerai menjual alat solek sempena majlis konvokesyen di Politeknik Kota Kinabalu, hujung minggu lalu.
Anak sulung daripada dua beradik itu mengenakan caj sebanyak RM2 kepada pengunjung bagi setiap sesi swafoto bersama ‘Annabelle’ sehingga gambar mengenai penampilannya tersebar di laman sosial, baru-baru ini.
Ibu kanak-kanak itu Stacy Yong, 28, berkata anaknya 'memegang' watak Annabelle selama empat hari atas kehendak sendiri kerana mahu membeli beg sekolah baru untuk menggantikan beg sekolahnya yang koyak. “Baru-baru ini, beg sekolahnya koyak kerana membawa buku yang banyak.
Dia mengadu meminta dibelikan sebuah beg beroda supaya tidak mudah rosak. “Saya berjanji mahu membelikan beg itu pada hujung bulan ini iaitu selepas bapanya menerima gaji," katanya.
Bagaimanapun, suri rumah itu berkata, ketika membuka gerai sempena majlis konvokesyen di Politeknik Kota Kinabalu, baru-baru ini, anaknya menawarkan diri untuk membantu berniaga dengan membuat penampilan ala watak Annabelle. “Ketika berniaga, saya membawa Bella dan seorang lagi anak saya.
Ketika itu, Bella berkeras mahu membantu dengan membuat penampilan menyerupai watak Annabelle dan menawarkan khidmat swafoto kepada pengunjung dengan bayaran RM2.
“Saya berfikir, mungkin ini cara mendedahkannya untuk berdikari bahawa tidak mudah untuk mencari wang tanpa sebarang usaha lalu saya membeli pakaian terpakai yang bersesuaian dan menyolek muka Bella hingga menyerupai watak Annabelle," katanya yang turut menjual alat solek secara atas talian.
Stacy berkata, hasil usaha itu, penampilan Bella mendapat perhatian pengunjung dan ramai yang mengambil peluang berswafoto dengannya sambil menghulur sumbangan RM2 seorang. Katanya, selama empat hari Bella membuat penampilan itu di hadapan gerainya, dia berjaya mengumpul wang lebih daripada mencukupi untuk membeli beg beroda yang diminatinya.
“Kini Bella sudah dapat membeli beg barunya yang berwarna merah jambu dan beroda di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu berharga RM140. Baki wangnya itu, Bella guna membeli buku dan alat tulis untuk keperluannya di sekolah sebaik sesi persekolahan bermula Isnin ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment