Kenangan sewaktu pengumuman bahawa calon Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi P078 Cameron Highlands, seolah-olah masih terngiang-ngiang bagi penyokong BN. Pada malam berkenaan, bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 462 undi dalam persaingan 5 penjuru berkenaan.
Beberapa tahun berlalu dan berlakulah pergolakan dalaman MIC yang akhirnya menyaksikan Datuk Seri G Palanivel dipecat dari MIC serta merta. Kedudukan ini menyaksikan pesaingnya, Datuk Seri S Subramaniam diangkat sebagai Presiden baru MIC dengan nasib Datuk Seri G Palanivel terus tenggelam, seolah-olah langsung dilupakan.
Maka bermulalah mimpi ngeri buat kira-kira lebih 30 ribu pengundi Cameron Highlands yang telah memberi mandat kepada beliau untuk menerajui kerusi yang kononnya kerusi tradisi MIC. Bermula pertengahan 2015 sehinggalah di saat Sidang parlimen bakal dibubarkan bagi memberi ruang kepada Pilihan Raya Umum ke 14 diadakan, nasib mereka masih lagi terumbang ambing.
Melihat akan keadaan ini, timbul sedikit persoalan, kenapa perlunya rakyat dan pengundi di Cameron Highlands seolah-olah dinafikan hak pembangunan mereka oleh parti yang mewakili BN? MIC bukan satu parti serpihan yang tidak mempunyai apa-apa. Mereka adalah koomponen utama BN dan sebagai sebuah komponen utama, mereka seharusnya tidak meminggirkan pembangunan di kerusi yang telah mereka menangi.
Ketika bertanyakan tentang hal ini dengan beberapa orang pengundi di Parlimen ini, mereka secara jelas menyatakan kekesalan mereka dengan apa yang berlaku di dalam parti berkenaan. Kata mereka, hak pembangunan dan peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada Ahli Parlimen yang telah mereka pilih pada 2013, langsung tidak kelihatan sehinggalah kini.
Menurut mereka, sebelum ini, sukar untuk melihat apa jua majlis yang dianjurkan oleh MIC di mana-mana DUN di Cameron Highlands sehinggalah Oktober tahun lalu apabila Ketua Pemuda MIC, Datuk S Sivarrajh diletakkan sebagai Penyelaras Parlimen Cameron Highlands oleh MIC.
Sebelum ini, langsung tiada sebarang usaha dari parti berkenaan untuk mendekati pengundi sehinggalah gendang Pilihan Raya Umum ke 14 semakin kuat kedengaran. Jika ada pun parti komponen BN yang bekerja di Parlimen ini hanyalah MyPPP yang diketuai oleh Tan Sri M Kayveas yang boleh dianggap mereka sebagai penyelamat maruah BN di Parlimen ini.
Manakan tidak, apa sahaja permasalahan setempat, kepada Tan Sri M Kayveaslah tempat mereka mengadu. Apa yang menariknya, segala permasalahan berkenaan diselesaikan oleh beliau dengan menggunakan wang beliau sendiri. Disinilah timbul persoalan, kemanakah wang peruntukan untuk Parlimen yang sepatutnya digunakan oleh MIC untuk penduduk Cameron Highlands disalurkan?
Menarik untuk dirungkai persoalan ini kerana sejak pertengahan 2015, Datuk Seri G Palanivel bukan lagi Presiden MIC dan kerusi ini dibiarkan kosong sejak hampir 3 tahun lamanya. Cuma baru-baru ini sahajalah MIC kembali hadir dengan wang peruntukan yang banyak. Adakah ini peruntukan yang tertangguh selama tiga tahun untuk seluruh warga Cameron Highlands?
Beberapa penduduk sendiri menyatakan, mereka tidak peduli dengan apa yang berlaku di dalam parti yang mewakili mereka. Apa yang mereka pedulikan adalah, hak pembangunan dan ada Ahli Parlimen yang sanggup mendengar permasalahan mereka. Kata mereka, mereka sendiri pelik, Tan Sri M Kayveas bukanlah Ahli Parlimen mahupun ADUN di Cameron Highlands.
Namun, jika terdapat sebarang masalah, kepadanya sahajalan tempat mereka mengadu sejak hampir 3 tahun yang lalu. Malah, mereka cukup terharu dengan komitmen beliau yang sanggup saban minggu turun dan naik Cameron Highlands sejak hampir 3 tahun yang lalu hanya untuk berbakti kepada pengundi dan warga Cameron Highlands.
0 comments:
Post a Comment