JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengetuai cabaran pemain Malaysia apabila mara ke pusingan kedua Seluruh England, awal pagi tadi. Tampil sebagai pilihan kedua kejohanan, Chong Wei tidak berdepan masalah untuk layak ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Brazil, Ygor Coelho 21-15, 21-17 dalam aksi pusingan pertama di Birmingham.
Pemain nombor dua dunia itu akan bertemu sama ada pemain Denmark, Jan O Jorgensen atau Lee Dong Keun dari Korea Selatan bagi merebut tempat ke suku akhir, hari ini.
Sementara itu, dua beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin masing-masing turut cemerlang apabila menempah tiket ke pusingan kedua.
V Shem-Wee Kiong semakin menemui rentak prestasi sebenar mereka apabila menewaskan pilihan kelima dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-13, 21-17 manakala Ee Yi-Yew Sin menang ke atas pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-16, 16-21, 23-21.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, V Shem-Wee Kiong akan menentang pasangan tuan rumah, Marcus Ellis-Chris Langridge manakala Ee Yi-Yew Sin bertemu pilihan pertama dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.
Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei turut menempatkan diri ke pusingan kedua selepas lawannya dari China, He Bingjiao menarik diri susulan masalah kecederaan ketika dia mendahului 6-1 di set pertama. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi perseorangan wanita negara, Sonia Cheah yang terpaksa akur apabila tewas kepada Fitriani Fitriani 21-16, 18-21, 9-21.
0 comments:
Post a Comment