Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan tiga kadar gaji kehidupan wajar yang sepatutnya dibayar oleh majikan kepada individu yang tinggal dan bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Pembayaran tersebut ialah sebanyak RM2,700 untuk dewasa bujang, RM4,500 untuk pasangan tanpa anak dan RM6,500 bagi pasangan dengan dua orang anak.
Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, penetapan kadar seumpama itu adalah penting bagi memastikan tahap pendapatan individu dan isi rumah bersesuaian dengan taraf kehidupan di bandar raya besar.
“Kadar ini boleh digunakan sebagai garis panduan para majikan untuk memastikan gaji yang dibayar adalah setimpal dengan kos sara hidup di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Bagaimanapun, jika individu itu bekerja di kawasan luar bandar seperti Muar; Johor dan Kubang Kerian; Kelantan, kadar tersebut dianggap amat selesa kerana kos sara hidup yang lebih rendah berbanding di bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pembentangan Laporan Tahunan BNM 2017 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran di sini semalam. Sementara itu, Muhammad menjelaskan, pada tahun 2016, sebanyak 27 peratus isi rumah di Kuala Lumpur berpendapatan di bawah kadar gaji wajar.
“Mereka ini kebanyakannya terdiri daripada individu lulusan sekolah menengah dengan pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana. Mereka yang berpendapatan di atas gaji kehidupan wajar kebanyakannya graduan pengajian tinggi dengan pekerjaan berkemahiran tinggi,” ujarnya.
0 comments:
Post a Comment