Sebuah keluarga yang sedang menikmati makan tengah hari terkejut apabila mendapati seekor ular kapak ‘berkeliaran’ di bahagian dapur rumah mereka di Country Villa, Tanjung Batu di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.20 petang itu, kehadiran ular berbisa berkenaan disedari oleh seorang penghuni apabila dilihat bersembunyi di bawah dapur. Bimbang dengan keselamatan ahli keluarganya, penghuni terbabit menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan bantuan.
Ketua Skuad APM Bintulu, Korporal Dayang Suliana Awang Salleh berkata, dia bersama tiga rakan setugas bergegas ke lokasi kejadian bagi menangkap reptilia berkenaan. “Anggota APM mengambil masa 30 minit untuk menangkap haiwan berbisa itu menggunakan alat penyepit khas sebelum memasukkannya ke dalam guni,” katanya.
Menurutnya, selepas berjaya ditangkap, haiwan itu dibawa ke kawasan belukar berhampiran untuk dilepaskan semula ke habitat asal. “Ular kapak atau nama saintifiknya, Trimeresurus sp adalah spesies berbahaya dan boleh mengancam keselamatan manusia.
“Ia biasanya akan keluar mencari kawasan bersesuaian akibat cuaca panas, kehilangan habitat atau gangguan manusia dan mencari sumber makanan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment