Seorang lelaki warga emas terpaksa dibawa turun dari Gunung Singai di sini dengan bantuan pasukan bomba kerana mengalami masalah kepenatan melampau semasa mendaki gunung tersebut itu bersama sekumpulan 69 pendaki lain hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Herwandy Sarbini berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.08 pagi. Katanya, sejurus menerima laporan tersebut, sepasukan enam anggota bomba dari BBP Bau dikerahkan ke lokasi untuk melakukan khidmat khas membawa turun warga emas tersebut.
"Pasukan bomba tiba di kaki gunung tersebut pada pukul 6.39 pagi sebelum memulakan pendakian. Apabila tiba di lokasi warga emas itu, anggota bomba mendapati lelaki berkenaan mengalami kepenatan melampau dan tidak mampu lagi untuk bergerak selepas mendaki gunung tersebut.
"Sebelum itu, rakan-rakan mangsa cuba membawa mangsa turun, namun gagal lalu menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ebby menambah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada warga emas itu sebelum dia dibawa turun. "Pasukan berjaya membawa mangsa turun dari gunung itu dalam tempoh kira-kira 40 minit sebelum dia dihantar ke Hospital Bau untuk menerima rawatan lanjut," ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment