My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 14 March 2018

    Komunikasi Bukan 2 Hala



    Tahun 2018 sudah melangkau hampir dua setengah bulan. Seharusnya teknologi semakin berkembang dengan penerapan nilai kemanusiaan yang hebat berlandaskan inovasi. Teknologi patut memudahkan manusia dari aspek jasmani dan rohani, namun sebaliknya berlaku pada zaman yang dikatakan ‘teknologi terus melompat’ berbanding perlahan-lahan menyerap kehidupan. 

    Perhatikan perubahan ketara pada teknologi termasuk media sosial yang semakin pesat membangun selari dengan pertumbuhan gajet sebati dalam diri masyarakat. Bukankah ia berita baik kepada manusia? Bukahkah semuanya kini terpampang di skrin kecil 5.2 inci, 5.5 inci atau 6.0 inci? Mahu apa saja? Klik pada aplikasi, ikon, pelayar di depan mata dan semuanya tersedia.

    Itulah persoalan yang sepatutnya dibalas dengan jawapan positif. Memang! Mahu memesan makanan? Klik pada aplikasi pesan, mahu menonton strim? Langgan dan sedia, mahu bersosial? Facebook, WhatsApp, WeChat dan banyak lagi ada.

    Apabila tiba topik mengenai komunikasi, mungkin ramai tidak perasan betapa renggangnya hubungan terutama kepada pasangan atau ahli keluarga disebabkan masyarakat kini hanya memandang telefon masing-masing.

    Dua minggu lalu, penulis pernah menulis mengenai hubungan ibu bapa dan anak yang terkesan akibat gajet. Minggu ini, cuba kita lihat komunikasi antara pasangan seperti suami isteri berdepan cabaran zaman komunikasi tanpa suara ini.

    Penulis masih mengingati statistik yang dikeluarkan syarikat telekomunikasi di United Kingdom, O2 yang mengatakan purata pemilik telefon pintar meluangkan 119 minit untuk telefon mereka berbanding 97 minit berkomunikasi dengan pasangan masing-masing.

    Jumlah 119 minit itu termasuk melayari Internet (24 minit), media sosial (16 minit), mendengar muzik (15 minit), bermain game (13 minit), membuat panggilan (13 minit), berbalas mesej (11 minit), membalas e-mel (9 minit), membaca buku (8 minit), menonton TV (7 minit) dan merakam foto (3 minit).

    Percaya atau tidak, statistik terbabit dikeluarkan dalam laporan O2 & Samsung ‘Mobile Life’ 2013. Ya, anda tidak salah membacanya! Ia diterbitkan pada 2013. Jadi, selepas lima tahun, ke mana hala tuju dan perubahan tabiat pengguna yang membentuk kehidupan masing-masing?

    Meskipun laporan terbabit membabitkan masyarakat di Britain, anda perlu percaya Malaysia berkemungkinan besar mencatatkan angka lebih tinggi. Ia berdasarkan laporan Facebook sebelum ini yang menyatakan Malaysia menduduki senarai kelapan tertinggi dalam penggunaan laman sosial terbabit.

    Baik, penulis melihat statistik dikeluarkan statista.com pada 2017 dan menyaksikan peningkatan mendadak untuk laman sosial saja. Bayangkan, jumlah masa dihabiskan untuk laman sosial (belum menyentuh pelayaran Internet, bermain game dan sebagainya) meningkat dari 2012 hingga 2017. 

    Pada 2012, sejumlah 90 minit dihabiskan untuk media sosial dan penghujung 2017 menyaksikan pengguna menghabiskan sekurang-kurangnya 135 minit bermedia sosial. Di antara dua tahun terbabit, sejumlah masa dihabiskan termasuk 95 minit (2013), 101 minit (2014), 109 minit (2015) dan 126 minit (2016).

    Tiada tanda angka terbabit menurun dengan saban tahun perubahan gajet menjerumuskan komunikasi dalam kehidupan maya. Ia juga memberi implikasi manusia semakin kurang berkomunikasi, bersemuka dan berdepan, tetapi menghabiskan masa di depan skrin telefon masing-masing.

    Meskipun nampak remeh, statistik tadi membimbangkan apabila kehidupan manusia kini bukan realiti sekali gus menjadikan skil komunikasi juga berkurangan. Akibatnya, hubungan dua hala tidak diperoleh sehingga menyebabkan masyarakat terutama pasangan hilang tumpuan atau objektif komunikasi masing-masing.

    Berkomunikasi di media sosial berbeza dengan cara bercakap atau bertentang mata bersama pasangan masing-masing. Apabila pasangan sibuk dengan gajet masing-masing, tiada keserasian yang dapat dibentuk. Bahkan, ruang yang terlalu bebas diberikan kepada media sosial mengakibatkan hubungan retak disebabkan hal kecil.

    Pada 2015, anda yang menghadiri majlis akad nikah di Selangor mungkin mendengar pesanan kadi yang mengatakan WhatsApp antara punca utama masalah rumah tangga sehingga mencetuskan perceraian.

    Disebabkan masalah terbabit kian meruncing, kadi atau jurunikah negeri diberi amanah mengingatkan pengantin baru di negeri terbabit berkaitan WhatsApp dan laman sosial lain ketika majlis akad nikah berlangsung. Pesanan yang disediakan Jabatan Agama Negeri Selangor (JAIS) ditujukan kepada pasangan pengantin sebelum upacara akad berlangsung.

    Seorang jurunikah bertauliah di salah satu surau memaklumkan, masalah WhatsApp boleh merenggangkan hubungan suami isteri kerana tersalah tafsir maksud sebenar yang terkandung dalam mesej itu. Sehinggakan waktu makan yang seharuskan menjadi platform pasangan berbual pun menjadi ‘bisu’ dengan hanya mata memandang fon sambil menjamah makanan.

    Perunding Keibubapaan Bertauliah Noor Afidah Abu Bakar, berkata secara ringkasnya kesan gajet ke atas pasangan itu sendiri mengakibatkan kurangnya masa untuk membina hubungan yang lebih rapat antara kedua-duanya.

    “Masing-masing akan hidup dalam dunia sendiri dan lebih mengutamakan apa yang berada di atas skrin berbanding memperkukuhkan dan mengeratkan hubungan seperti suami isteri,” katanya. Beliau berkata, terdapat pasangan yang mengadu si suami ketagih fon bermain game sehingga mengabaikan tanggungjawab.

    “Contohnya, saya mendengar luahan isteri sendiri yang pernah cerita mengenai suaminya yang ketagih game sehingga mengabaikan masa serta keperluan isteri dan keluarga,” katanya.

    Mungkin sudah tiba masa kempen yang pernah dianjurkan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) diperkasakan dengan sokongan syarikat swasta. FOMCA menganjurkan Minggu Tanpa Skrin (sebelum ini dikenali sebagai Minggu Tidak Menonton Televisyen) yang menjadi kempen tahunan sejak 1995.

    Ia bertujuan menggalakkan ibu bapa dan anak menutup televisyen dan perkakasan berskrin di rumah seterusnya meluangkan masa dengan melakukan pelbagai aktiviti lain bersama sebagai satu keluarga. Ya, kempen terbabit perlu perlu kembali segar.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Komunikasi Bukan 2 Hala Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top