Seramai 55 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti judi haram ditahan menerusi 40 serbuan berasingan yang dilakukan di seluruh negeri ini sepanjang minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua kaki judi yang ditahan termasuk seorang warga asing itu berusia antara 16 hingga 52 tahun. Menurut beliau, serbuan yang bermula dari 12 hingga 18 Mac lalu itu melibatkan 34 premis menjual loteri haram, pusat judi siber (5) dan satu pusat pertaruhan tidak berlesen.
"Kesemua serbuan itu dilakukan di daerah Kuching, Padawan, Bau, Miri, Sibu, Bintulu, Saratok, Meradong, Limbang, Sarikei, Sri Aman dan Kota Samarahan.
"Hasil serbuan itu, polis telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan termasuk wang tunai berjumlah RM12,126," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dev menambah, daripada kesemua individu yang ditahan itu, 28 merupakan lelaki manakala selebihnya adalah wanita. Katanya, mereka akan ditahan reman untuk siasatan lanjut. "Kes itu disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953," ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment