My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 19 March 2018

    Komplikasi Diabetes



    Neuropati diabetes atau kerosakan saraf akibat kencing manis adalah satu daripada punca utama kesakitan yang dihidapi pesakit neuropati periferal (pDPN). Komplikasi daripada diabetes ini menyumbang kepada faktor pesakit kerap ke hospital berbanding komplikasi lain bagi penyakit berkenaan. 

    Dianggarkan kira-kira 20 peratus pesakit diabetes Jenis II, manakala lima peratus pesakit diabetes Jenis 1 menghidap pDPN. Pada 2015, Malaysia mencatat 3.3 juta kes pesakit diabetes dan seorang daripada lima pesakit didiagnosis dengan pDPN sama ada dari Jenis I atau Jenis II.

    Neuropati periferal dicirikan oleh gejala seperti kebas, kepanasan dan rasa pedih yang mencucuk pada bahagian kaki akibat kerosakan jaringan saraf periferal. Dianggarkan 60 hingga 70 peratus pesakit diabetes akhirnya mengalami pDPN, namun tahap kerosakan sarafnya berbeza antara pesakit.

    Perunding Pakar Endokrinologi, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Vijay Ananda Paramasvaran berkata, kebanyakan pesakit dengan neuropati diabetes tidak menyedari mereka mengalami kerosakan saraf sehingga ia dikesan ketika menjalani pemeriksaan rutin oleh doktor. 

    Lebih buruk, tidak ada satu pun rawatan yang wujud untuk mencegah dan memulihkan perubahan neuropati yang terjejas atau memberikan kelegaan kesakitan sepenuhnya. Kerosakan saraf akibat diabetes juga boleh menyebabkan kehilangan kepekaan rasa pada kaki.

    Pesakit tidak akan sedar jika kaki mereka mengalami kecederaan yang mana luka ini boleh membawa ke jangkitan yang lebih serius dan meningkatkan kemungkinan pesakit diabetes terpaksa dipotong kakinya. “pDPN adalah komplikasi serius diabetes yang biasanya menjejaskan bahagian kaki terlebih dulu sebelum merebak ke bahagian lain badan.

    Kesakitan boleh menjadi spontan atau dirangsang dan biasanya menjadi lebih teruk pada waktu malam yang boleh digambarkan sebagai rasa terbakar, dicucuk jarum, dihiris pisau, kebas dan renjatan elektrik.

    “Namun, kebanyakan gejala terbabit tidak dikenal pasti sebagai kesan daripada neuropati periferal dan ini menyebabkan ramai pesakit membiarkan penyakit mereka berlarutan tidak dirawat dalam jangka panjang,” katanya dalam sesi perbincangan memahami pDPN sempena pelancaran kempen Stoking Biru anjuran Pfizer Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

    Turut hadir, Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Mafauzy Mohamed, Ketua Inovasi Kesihatan Pfizer Malaysia, Jeff Bote, Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Erica Lam dan Timbalan Presiden Diabetes Malaysia, Jong Koi Chong, Dr Vijay berkata, neuropati periferal berpunca daripada diabetes dan kadar gula yang tinggi yang kronik, malah tahap gula yang tinggi juga tidak hanya merosakkan saraf kaki tetapi juga di bahagian lain tubuh.

    “Akibatnya, saraf yang rosak ini tidak dapat membawa mesej antara otak, saraf tunjang dan seluruh tubuh dengan berkesan. Pesakit juga mengadu mengenai otot dan refleks yang lemah terutama di pergelangan kaki yang menyebabkan kehilangan keseimbangan dan koordinasi.

    “Diagnosis pDPN dijalankan secara klinikal berdasarkan sejarah kesakitan neuropati dan ujian pengesahan. Sewaktu ujian klinikal, doktor mungkin memeriksa kekuatan otot, refleks tendon, kepekaan untuk sentuhan, suhu dan getaran.

    “Pesakit akan disahkan mengalami pDPN selepas pemeriksaan menunjukkan kesakitan serupa dengan ciri neuropati periferal, kepekaan rasa berkurangan dan tiada refleks,” katanya.

    Katanya, ada dua pendekatan terapeutik rawatan pDPN yang boleh dipertimbangkan iaitu rawatan farmakologi yang bertujuan untuk mengurangkan gejala neuropati periferal diabetes yang menyakitkan dan memulihkan keseluruhan kualiti hidup pesakit.

    Bagi rawatan bukan farmakologi pula untuk menggalakkan kawalan glisemik dan membantu mengelakkan komplikasi akhir neuropati diabetes. Ini termasuk senaman tetap, pengurusan tekanan, berhenti merokok dan pengambilan alkohol secara sederhana.

    “Kelas utama ubat yang digunakan untuk merawat pDPN adalah antidepresan terutama antidepresan ‘tricyclic’ (TCAs) dan agen antisawan seperti gabapentin dan pregablin untuk mengubah sistem isyarat dalam sistem saraf badan.

    “Bagaimanapun, tidak ada rawatan yang akan melegakan kesakitan sepenuhnya, oleh itu pencegahan adalah strategi terbaik. Pengesanan awal juga sama penting dan jika pesakit diabetes mula mengalami gejala kesakitan mereka perlu menemui doktor bukan melakukan diagnosis diri sendiri,” katanya. 

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 1.6 juta kematian disebabkan oleh diabetes pada 2015 dan laporan turut menyebut bahawa diabetes akan menjadi penyebab kematian ketujuh di seluruh dunia pada 2030.

    Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan turut melaporkan kes diabetes dalam kalangan orang dewasa di negara ini dijangka akan meningkat sehingga 21.6 peratus MAJLIS pelancaran kempen Stoking Biru dihadiri (dari kiri) Dr Vijay, Dr Mafauzy, Erica, Dr Zanariah, Bote dan Jong untuk tingkat kesedaran penjagaan kaki pesakit diabetes.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr Zanariah Hussein berkata, neuropati periferal diabetes adalah perkara biasa yang menyebabkan kecacatan dan ketidakupayaan dalam kalangan pesakit diabetes walaupun penyakit terbabit sering terlepas pandang. 

    “Walaupun ada kemajuan dalam pengurusan dan pemeriksaan diabetes, separuh daripada pesakit di Malaysia yang menghidap diabetes selama enam hingga 10 tahun didapati mempunyai neuropati periferal diabetes akibat lewat dikesan dan kawalan penyakit yang rendah.

    “Pesakit juga biasanya silap mentafsir gejala penyakit sebagai tanda penuaan. Pengesanan awal, pencegahan dan komunikasi dengan doktor adalah penting untuk memastikan bahawa perkembangan pDPN diuruskan dan diperlahankan sebelum ia meningkat ke tahap yang boleh mengancam keseluruhan kualiti hidup pesakit,” katanya.

    Kempen Stoking Biru yang berlangsung selama enam bulan bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai betapa seriusnya pDPN. Konsep kempen ini untuk membentuk hubungan di antara diabetes dan pDPN serta kerjasama masyarakat untuk memerangi penyakit terbabit.

    Pelbagai aktiviti seperti forum awam, seminar dan pameran pendidikan yang menekankan kepentingan penjagaan kaki yang betul untuk mencegah komplikasi serius berkaitan pDPN akan diadakan di beberapa pusat perubatan terpilih seluruh negara.

    Kempen ini penting untuk menyebarkan maklumat mengenai pDPN terutama gejala pertama yang biasanya bermula daripada kaki.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Komplikasi Diabetes Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top