MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda akan mengadakan pendengaran awam berhubung permohonan Malaysia bagi interpretasi penghakiman ICJ mengenai kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dari 18 hingga 22 Jun di Peace Palace, The Hague.
ICJ dalam kenyataan media di laman sesawangnya,semalam menyatakan Malaysia akan memulakan pusingan pertama hujah lisan pada 3 petang hingga 6 petang, 18 Jun manakala giliran Singapura pada 19 Jun, waktu yang sama. Pusingan kedua hujah lisan oleh Malaysia akan diadakan pada 10 pagi hingga 11.30 pagi, 21 Jun dan Singapura pada 22 Jun, 3 petang hingga 4.30 petang.
Pada 2 Februari tahun lalu, Malaysia memfailkan semakan keputusan ICJ berhubung Pulau Batu Puteh dan memetik bahawa United Kingdom telah mengubah status tiga dokumen untuk menyokong permohonan itu baru-baru ini.
Dokumen berkenaan ialah surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan mengenai satu kejadian yang difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta beserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an.
Dokumen itu tidak diketahui oleh ICJ mahupun Malaysia ketika penghakiman pada 2008, ditemui di National Archives of the United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Jan 2017.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia memiliki Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) pula menjadi milik negara di perairan di mana pulau itu terletak.
Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika (14.2 kilometer) dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor. Pada 16 Februari lalu, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata bahawa beliau akan mengetuai satu kumpulan pakar undang-undang antarabangsa dan tempatan berhubung pendengaran itu.
0 comments:
Post a Comment