My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 10 April 2018

    Sokong Ibu Usahawan



    Pembabitan wanita dalam bidang keusahawanan semakin menyerlah dan mereka kini tidak lagi dipandang sebagai golongan yang layak duduk di ceruk dapur saja. Sumbangan mereka dalam ekonomi keluarga sememangnya tidak dapat disangkal, malah golongan itu juga mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui pembabitan dalam pelbagai industri. 

    Berikan saja mereka peluang dan ruang untuk meningkatkan diri, pasti tangan yang menghayun buaian itu mampu menggegar dunia.

    Lihat saja kini, wanita bergelar suri rumah sudah mampu meraih pendapatan sendiri dengan berniaga kecil-kecilan, malah tidak hairan jika ‘label’ yang sering diberi iaitu mengharap duit suami untuk berbelanja tidak lagi boleh dipakai kerana mereka juga bijak mencari duit poket sendiri.

    Buat tahun keempat, program keusahawanan Ibu Nakhoda Hidup usaha sama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Procter & Gamble (P&G) Malaysia dan Pertubuhan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:Girls) kembali lagi bagi memberikan sokongan dan dorongan kepada ibu usahawan di seluruh Malaysia.

    Program lanjutan daripada Tabung Hulurkan Harapan P&G dan Mydin sejak 2015 itu bermatlamat mencapai lebih banyak organisasi dan institusi perniagaan serta universiti bagi menyediakan perkhidmatan mentor kepada wanita di dalam program terbabit.

    Selain itu, program ini turut menganjurkan perkongsian ilmu di dalam merangka perkembangan perniagaan mereka melalui aktiviti jangkauan masyarakat ketika program ini menjelajah ke 10 tapak Mydin di seluruh negara bermula 16 Mac hingga 20 Mei ini.

    Semakin yakin meneroka peluang 

    Pengusaha kek, Tengku Norhaslinda Tengku Mamat, 38, kini boleh berbangga dengan hasil usahanya yang dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarganya. Katanya, menerusi jualan secara dalam talian saja, permintaan kek dihasilkan mendapat sambutan memberangsangkan, malah jenamanya kini semakin gah dalam kalangan pembeli dan peminat kek. 

    Tengku Norhaslinda berkata, kejayaan yang diterima ini adalah bantuan menerusi Program Ibu Nakhoda Hidup yang disertai pada 2016 dan menerusinya juga beliau semakin berani untuk terus melangkah ke depan.

     “Dulu saya tidak berani berdepan orang ramai kerana dibelenggu perasaan malu namun selepas menyertai program ini, sedikit sebanyak ilmu yang dipelajari mendedahkan saya dengan dunia perniagaan sebenar.

    “Pada awal perniagaan, memang saya berdepan dengan kesukaran. Tetapi selepas setahun, saya menyertai program dan mendapat pendedahan dalam penjenamaan serta bantuan pemasaran, peluang datang dari sudut berbeza-beza.

    “Perniagaan semakin dikenali dan alhamdulillah tempahan kek mendapat permintaan di luar jangkaan saya. Setiap minggu tempahan yang diterima penuh dan pernah memperoleh pendapatan RM5,000 seminggu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Ibu Nakhoda Hidup di Mydin USJ Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

    Menurutnya, perniagaan kek itu dimulakan kerana minat walaupun sebelum ini dia pernah mengambil alih kedai basikal milik bapanya dan turut menjadi mekanik di kedai itu. Kemahiran membaiki basikal dimilikinya diwarisi oleh bapanya dan selepas berkahwin, dia turut dibantu suami dalam menguruskan perniagaan kedai basikal itu bersama.

    Membuat kek, biskut dan kuih hanya menjadi hobinya ketika itu, namun katanya, kemahiran membuat kek yang dipelajari ketika menuntut di GiatMARA dirasakan sia-sia jika dia tidak terus mengasah dan mengembangkan bakatnya itu.

    “Tanpa bantuan dan bimbingan yang saya dapat dalam program ini, mungkin perjalanan perniagaan saya agak perlahan. Tapi dengan bantuan diberikan seperti peti sejuk, segala-galanya berjalan dengan lancar dan jenama Lady Boss Cake terus mendapat tempat di dalam industri.

    “Suami pula kini fokus kepada perniagaan kedai basikal dan saya meneruskan minat dalam perniagaan ini,” katanya yang menjalankan perniagaannya di Bandar Tasik Puteri, Rawang. 

    Tonjolkan keunikan tersendiri.

    Sementara itu, pengusaha batik, Azizah Ahmad berkata, pelbagai peluang yang diberikan untuk usahawan wanita meningkatkan diri dan mengembangkan perniagaan seharusnya digunakan sebaik mungkin.

    Ini kerana, katanya, pelbagai liku dan cabaran dalam perniagaan perlu ditempuh sebelum beroleh kejayaan dan baginya wanita tidak harus terkesan dengan cabaran dihadapi kerana ia peluang untuk meningkatkan potensi diri.

    “Mereka tidak lagi boleh berada di takuk lama sebaliknya mesti berani mengatasi perubahan dalam dunia perniagaan di samping perlu tahu kehendak pasaran. Meskipun sebagai suri rumah sekalipun, kekangan masa dan bebanan tanggungjawab terhadap keluarga tidak harus dijadikan alasan, sebaliknya mereka perlu tonjolkan keunikan tersendiri.

    “Tampilkan produk unik, jangan takut dan buat kajian atau tinjauan dari semasa ke semasa supaya barangan dan perkhidmatan ditawarkan memenuhi keperluan pengguna. Inilah kunci kejayaan dalam perniagaan,” katanya yang juga peserta alumni Program Ibu Nakhoda Hidup.

    Bagi Pengusaha S A Kek Lapis Sarawak, Saptuyah Abang, wanita perlu lebih kreatif dan produktif menghasilkan produk supaya sebaris nama dan jenama besar sedia ada. Beliau yang juga peserta Program Ibu Nakhoda Hidup berkata, wanita perlu tahu keadaan pasaran semasa dan ada ilmu untuk memastikan mereka mampu pergi lebih jauh tanpa hanya mendapatkan bantuan kerajaan. 

    “Memandangkan persaingan dalam dunia perniagaan ini sengit, usahawan wanita perlu kreatif mengeluarkan produk berbeza, menepati kehendak serta mensasarkan untuk pasaran global,” katanya.

    Beri impak besar 

    Kejayaan dalam program ini membuka peluang kepada ramai golongan wanita untuk terus maju dengan visi dan misi yang jelas. Kali ini, pencarian dimulakan untuk musim keempat bagi mencari calon ibu yang serius ingin mengubah kehidupan.

    Terdahulu, pelancaran disempurnakan Ketua pengarah Jabatan pembangunan Wanita dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Yatimah Sarjiman. Perjalanan Ibu Nakhoda Hidup dengan penampilan khas semua alumni Ibu Nakhoda Hidup sepanjang tiga tahun turut dipamerkan di dataran Mydin USJ, Subang Jaya.

    Turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, Pengarah Mydin Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd, Ketua Peruncitan Moden P&G Malaysia Jennis Tan serta Presiden dan Pengasas Pertubuhan WOMEN:girls Low Ngai Yuen.

    Jennis berkata, pelancaran tahun keempat itu menunjukkan betapa pentingnya program seumpama itu untuk membantu ibu bergelar usahawan melihat perjalanan dan potensi perniagaan mereka yang lebih besar. Katanya, mereka harus mengambil peluang ini untuk mengembangkan perniagaan kerana ini bukan lagi sekadar pendapatan sampingan keluarga.

    “P&G sangat berbangga dengan peluang yang diberikan untuk membeli produk dari usahawan dalam program ini bagi kempen Hadiah-Bersama-Pembelian kami. Wanita ini menunjukkan komitmen bagi urusan perniagaan yang lebih besar daripada sebelumnya dan ini menyerlahkan visi yang mereka ada untuk perniagaan masing-masing.

    “Kami juga menyediakan bimbingan dan bantuan dari segi pemasaran dan penjenamaan yang merupakan sesuatu yang lebih penting bagi perniagaan dan ini boleh menjadi satu kelebihan kepada mereka juga,” katanya.

    Tahun lalu, sebanyak 163 penyertaan diterima dari seluruh negara dan lima pemenang dipilih oleh penganjur. Dalam pada itu Siti Hawa berkata, tahun ini taraf dan piawaian untuk memilih lima ibu usahawan akan dipertingkatkan kerana mahu mereka merangka arah tuju perniagaan yang lebih daripada sekadar keuntungan.

    Katanya, arah tuju perniagaan bukan hanya untuk menjamin keuntungan tetapi bagaimana mereka boleh memberikan impak dan kesan kepada masyarakat melalui pemikiran, corak perniagaan serta misi dan visi perniagaan masing-masing. “Mereka perlu berfikir dan bertindak secara holisitik jika mahu berada di depan orang lain,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sokong Ibu Usahawan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top