My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 9 April 2018

    United Berjaya Tunda Hajat City



    Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mendedahkan bahawa dia berasa bertanggungjawab untuk menangguhkan pesta Manchester City untuk me­rangkul kejuaraan Liga Perdana England (EPL) selepas berjaya membantu kelabnya menewaskan jiran setempat itu 3-2 pada aksi awal pagi semalam. 

    Pada aksi tersebut, City terlebih dahulu selesa di depan pada separuh masa pertama selepas Vincent Kompany dan Ilkay Gundogan masing-masing menjaringkan satu gol pada perlawanan yang berlangsung di Etihad dan hampir menepati ramalan untuk menjulang kejuaraan lebih awal.

    Namun, The Red Devils berjaya mela­kukan kebangkitan menakjubkan pada babak kedua melalui penampilan cemerlang Pogba yang menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit untuk menyamakan kedudukan.

    Hajat City untuk meraih kemenangan terkubur selepas pemain pertahanan United, Chris Smalling meledak gol ketiga selepas menyudahkan hantaran Alexis Sanchez yang mengambil sepakan percuma, sekali gus menyaksikan The Citizens mencatat kekalahan kedua musim ini.

    “Saya tidak mahu tewas kepada City kali ini kerana kekalahan musim lalu masih bermain di minda. Jika City menang, mereka akan berpesta bersama penyokong dan ia akan menjadi peristiwa hitam bagi kami. Sudah pasti saya tidak mahu perkara itu berlaku.

    “Ketika di bilik persalinan semasa rehat separuh masa pertama, semua pemain sepakat untuk bermain seperti biasa kerana kami tidak rugi apa-apa dan kembali pada separuh masa kedua kami mula bermain dengan lebih baik,” kata Pogba.

    Dua jaringan Pogba yang terhasil adalah hasil kerjasama serta kerja keras semua pemain United yang me­ngubah corak permainan menjadikannya lebih pantas untuk memerangkap benteng City.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: United Berjaya Tunda Hajat City Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top