My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 9 April 2018

    Bebas HPV


    Virus human papilloma (HPV) adalah sejenis virus yang berjangkit melalui aktiviti seksual. Ada lebih 200 jenis HPV berlainan dan 80 peratus daripada lelaki dan wanita akan dijangkiti sekurang-kurangnya satu jenis HPV genital pada masa tertentu dalam hidup mereka. 

    Walaupun kebanyakan jenis HPV tidak membahayakan, beberapa jenis HPV yang diketahui boleh menyebabkan kanser tertentu seperti kanser serviks, anus dan orofarinks. Di seluruh dunia, kanser serviks adalah kanser keempat yang paling kerap dihidapi oleh wanita dan menyebabkan kira-kira 270,000 kematian pesakit wanita di seluruh dunia.

    Di Malaysia pula, kanser serviks ketiga yang paling kerap dihidapi oleh wanita, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan seramai 2,000 wanita negara ini menghidap kanser terbabit setiap tahun.

    Sehubungan itu, bagi mendidik masyarakat mengenai pencegahan HPV di seluruh dunia, Pertubuhan Papilomavirus Antarabangsa (IPVS) buat julung kalinya menganjurkan Hari Kesedaran HPV Antarabangsa tahun ini.

    Sambutan dirai pada setiap 4 Mac itu disertai kira-kira 80 organisasi di seluruh dunia termasuk Universiti Malaya (UM) dan Cancer Research Malaysia (CRM) serta disokong syarikat farmaseutikal, MSD Malaysia.

    Slogan tahun ini adalah ‘Perlindungan Melambangkan Tanda Kasih Sayang, Lindungilah Orang Tersayang Daripada HPV’ yang menggalakkan orang ramai melindungi keluarga mereka dan orang yang tersayang daripada HPV melalui ujian saringan lumuran pap dan vaksinasi iaitu dua kombinasi yang memainkan peranan penting dalam mencegah virus terbabit.

    Hari Kesedaran HPV Antarabangsa tahun ini memberikan fokus kepada beberapa negara di seluruh dunia yang dikaitkan dengan HPV termasuk membabitkan orang ramai di negara maju dan membangun serta pilihan pencegahan virus ini yang berbeza-beza.

    Di negara maju, ada beberapa pendekatan pencegahan kanser berkaitan HPV dan satu daripadanya pemvaksinan HPV yang mencegah jangkitan ini dengan berkesan. Pendekatan lain termasuk ujian HPV dan ujian saringan lumuran pap yang disasarkan kepada individu yang mungkin sudah terdedah kepada virus terbabit.

    Di negara membangun pula, akses kepada kedua-dua pendekatan pencegahan ini amat terhad. Kanser berkaitan HPV kerap didiagnosis ketika keadaan penyakit berada pada peringkat lanjut. Ini menyebabkan proses rawatan tidak begitu efektif dan menjadikan kadar kematian akibat kanser serviks lebih tinggi.

    Disebabkan akses terhad, kesan HPV dalam kalangan komuniti yang kurang berkemampuan didapati lebih membimbangkan. Sebagai usaha untuk memastikan rakyat negara ini dilindungi daripada HPV, Malaysia antara negara terawal memberi pemvaksinan HPV kepada pelajar perempuan berusia 13 tahun.

    Selain program imunisasi di peringkat sekolah kohort, wanita yang tidak terbabit dalam Program Immunisasi Kebangsaan masih mempunyai risiko menghidap penyakit ini. Meskipun ujian lumuran pap boleh didapati di kebanyakan klinik kesihatan, masih ramai wanita Malaysia tidak sedar kepentingan perlindungan dan akibatnya mereka tidak menjalani ujian berkenaan.

    Lebih 40 peratus kes kanser didiagnosis apabila ia sampai ke peringkat lanjut. Ini menunjukkan pemvaksinan HPV daripada jangkitan HPV yang lebih luas dan ujian penyaringan serviks harus dipertingkatkan untuk mencegah kanser serviks dan penyakit lain yang berkaitan dengan HPV. 

    Perunding Ginekologi Onkologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Woo Yin Ling berkata, sebagai usaha jangka panjang membasmi kanser serviks di negara ini, satu projek perintis program saringan serviks dinamakan ‘Removing Obstacles to Cervical Screning’ (ROSE) dijalankan.

    Projek ROSE yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai institusi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) diketuai PPUM bertujuan memperkasakan wanita untuk mengambil langkah pertama melindungi diri daripada kanser serviks dengan menjalani ujian pemeriksaan serviks bagi mengenal pasti sama ada mereka dijangkiti HPV. DR Woo.

    "Setiap hari, saya lihat kesan kanser serviks di peringkat lanjut amat teruk dialami wanita dan keluarga mereka. Kebanyakan kes boleh dicegah atau dirawat jika mereka mengambil langkah melakukan pemeriksaan awal.

    “Kombinasi pemvaksinan HPV dan saringan lumuran pap secara berkala sangat berkesan dalam mencegah kanser serviks. Namun, rakyat Malaysia perlu tahu kini kita mempunyai pelbagai cara mengurangkan risiko kanser serviks,” katanya pada majlis pelancaran sambutan Hari Kesedaran HPV Antarabangsa sempena acara larian Malaysia Women Marathon (MWM), baru-baru ini.

    Beliau yang juga Konsultan Kehormat di CRM berkata, kit ujian sendiri berbentuk putik kapas dan bekas silinder khas disediakan sebagai satu pilihan alternatif kepada pemeriksaan serviks yang selalunya dijalankan oleh pakar kesihatan.

    “Berdasarkan pelan dalam projek ini, wanita boleh mendapatkan kit ujian berkenaan menerusi jualan di kaunter sebelum melakukan ujian sendiri di rumah dengan mengambil sampel di vagina.

    “Sampel kemudian dibungkus dengan selamat sebelum dihantar ke makmal untuk ujian selanjutnya. Kaedah penghantaran sama ada menghantar sendiri, menggunakan perkhidmatan e-hailing atau pekerja penghantaran.

    “Kami juga bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menghantar keputusan ujian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Kaedah ini bagi memudahkan wanita dan mereka tidak perlu datang kembali ke makmal mengambil keputusan ujian, selain mengelakkan kemungkinan dokumen keputusan tercicir,” katanya.

    Dr Woo berkata, kaedah diadaptasi daripada kit pemeriksaan serviks dari Australia mendapat kelulusan WHO dan sangat disyorkan penggunaannya dalam kalangan wanita tempatan yang rata-ratanya tidak selesa dan takut melakukan pemeriksaan doktor.

    “Malah, kit ujian ini juga dijangka dapat mengatasi masalah pengamal perubatan sendiri yang mungkin mempunyai masa terhad, ketiadaan ruang dan kekurangan kemudahan untuk melakukan pemeriksaan serviks.

    “Kaedah ini juga diharapkan dapat mengurangkan kekerapan pemeriksaan serviks kepada lima tahun sekali. Ketika ini, pemeriksaan lumuran pap dilakukan setiap tiga tahun atau anggaran 15 kali daripada usia 21 hingga 65 tahun.

    “Projek ROSE ketika ini dilaksanakan di lima klinik kesihatan KKM dalam Daerah Petaling sebelum diluaskan ke seluruh negara. Sebagai persediaan, kami melatih kakitangan kesihatan mengendali kaedah ini termasuk memberi penerangan mengenai protokol ujian sendiri serviks,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Bebas HPV Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top