My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 11 April 2018

    Tak Sindir Sesiapa




    Lantang dan jujur dalam lirik lagunya, segelintir pihak menganggap penyanyi Altimet menyindir dalam diam menerusi setiap karyanya. Apalagi baru-baru ini, dia turut dikaitkan dengan isu menghentam penyanyi Malique dalam lirik lagu Mambang membuatkan ramai berteka-teki maksud di sebalik lagu itu.

    Bagaimanapun, penyanyi berusia 40 tahun itu menafikan lagunya ada kaitan dengan orang lain selagi ia tidak menyebut nama sesiapa. Lantas, dia meminta supaya hentikan spekulasi yang mengatakan dia ‘berperang’ dengan Malique dan menggunakan lagu untuk menghentam satu sama lain. “Saya rasa dia tidak balas pun. Malique ada lagu barukah? Betulkah dia menggunakan anak didiknya?

    “Nama saya ada disebut dalam lagu itu tak? Bukan pasal sayalah. Lagu saya ada sebut nama siapa-siapa tak? Bukan pasal merekalah,” katanya menjawab dakwaan itu.

    Altimet turut memberitahu setiap lirik lagunya adalah luahan pengalaman dirinya sendiri dan bukan berniat untuk menyindir sesiapa. “Kita buat lagu berdasarkan pengalaman kita. Orang mentafsirkan lagu berdasarkan pengalaman mereka.

    “Jadi kalau mereka kaki sindir atau sering disindir orang lain, mereka akan melihat ia sebagai sindiran dan terasa sendiri. Tetapi bagi saya, ia bagi mencerminkan diri sendiri. Sebab itu dalam lirik Amboi, saya ada sebut: ‘bukan nak sekolahkan korang tapi aku bahasakan aku’,” katanya pada pelancaran album terbarunya berjudul Air.

    Terdahulu, kecoh di media sosial Altimet dan Malique dikatakan berperang menerusi lirik lagu mereka selepas penyanyi berkenaan melancarkan lagu Mambang baru-baru ini. Lirik lagu berkenaan dikatakan menyindir Malique yang sudah lama menyepikan diri daripada industri seni.

    Kemudian, Malique didakwa membalasnya menerusi lagu anak didiknya Kmy Kmo dan Luca Sikta berjudul Gong Nekara yang dilancarkan beberapa hari selepas itu. Bereksperimen dengan album Air Melancarkan album barunya berjudul Air baru-baru ini, Altimet menggunakan pendekatan berbeza apabila meletakkan kepercayaan kepada komposer lain untuk menghasilkan lagunya dalam album itu.

    Menurutnya, dia memberi kuasa kepada mereka untuk menentukan lagu mana yang terbaik buat dirinya berdasarkan perspektif pada dirinya. “Kali ini saya biarkan orang lain yang menentukan lagu apa sesuai untuk saya berbanding sebelum ini apabila saya kawal semua aspek termasuk penerbitan album.

    “Saya berbuat demikian disebabkan mahu melihat pandangan orang lain pula mengenai perkara yang baik untuk saya. Maklum saja, banyak perkara yang saya sendiri tidak tahu baik untuk diri ini. Meskipun pembabitan saya cuma sedikit, memang sangat puas hati dengan hasil akhirnya. Kiranya, eksperimen saya menjadilah,” katanya.

    Berkongsi mengenai inspirasi di sebalik album itu, menurutnya dia mengambil kata-kata daripada legenda Bruce Lee yang sehingga sekarang tersemat di hatinya. “Dia pernah berkata ‘be like water’ dan saya cuba jadi macam air yang mengikut apa yang orang lakukan untuk saya dan cuba mengikut kesesuaian diri,” katanya.

    Untuk album berkenaan, Altimet bekerjasama dengan komposer hebat termasuk Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe dan Music Kitchen. Enam lagu yang dimuatkan dalam Air adalah Mambang, Ngam (Feat AShtin), KL Wangan (Feat Pekin Ibrahim & Faizal Hussein), Same Kind (Feat Baraka Blue & Aina Abdul), Muda (Feat Kidd Santhe) dan Bunga yang juga single terbarunya. 

    Air sudah pun berada di pasaran di semua platform digital dan album fizikal pula dilancarkan pada 1 April lalu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tak Sindir Sesiapa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top