SETIAP masyarakat ingin menikmati kemajuan dan pembangunan. Pelbagai cara dan kaedah boleh digunakan oleh sesebuah masyarakat untuk mencapai matlamat itu. Antara perkara yang menjadi bukti bahawa anggota masyarakat pada hari ini telah mencapai kemajuan ialah menerusi penggunaan media sosial yang semakin meluas.
Platform seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan laman blog antara komponen utama media sosial yang sering digunakan oleh masyarakat terutamanya untuk memperoleh atau berkongsi maklumat. Memang tidak dapat dinafikan, penggunaan media sosial dapat membantu sesebuah masyarakat untuk membangun pada kadar yang cepat.
Ini kerana, aktiviti perbincangan dan bertukar pandangan dapat dilakukan dengan pantas walaupun individu yang terlibat tidak berada di tempat yang sama. Menerusinya juga, faktor fizikal sudah tidak lagi menjadi halangan dalam urusan pertukaran pandangan dan perbincangan sesama ahli masyarakat yang terlibat.
Walaupun media sosial yang wujud pada hari ini mampu memberikan seribu satu kebaikan kepada anggota masyarakat, ia sering kali disalah guna untuk mencapai maksud tertentu.
Malah, penyalahgunaan media sosial ini dilihat semakin ketara sejak akhir-akhir ini apabila ia kerap digunakan untuk menyebarkan pelbagai informasi palsu sama ada mengenai individu, masyarakat ataupun negara. Sekiranya ia dibiarkan berlarutan, dikhuatiri akan menjadi barah yang boleh mengganggu proses pembangunan sesebuah masyarakat atau negara.
Terdapat tiga sebab utama media sosial yang wujud pada hari ini boleh bertukar menjadi barah iaitu apabila dijadikan platform menyebarkan berita palsu, alat menabur fitnah dan menghilangkan kepercayaan masyarakat luar.
1. Penyebaran berita palsu
Sejak kebelakangan ini, penyebaran berita palsu sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat. Masyarakat dilihat begitu teruja untuk berkongsi maklumat dan informasi yang diterima menerusi laman sosial tanpa membuat semakan kesahihan dan kebenarannya.
Sikap tidak suka menyemak ini boleh menyebabkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan situasi itu untuk menyebarkan berita palsu kepada masyarakat.
Sikap dan budaya ini juga bukan sahaja boleh membantutkan kemajuan sesebuah masyarakat tetapi apa yang lebih menakutkan ialah ia mampu memporak-perandakan keharmonian yang telah wujud sejak sekian lama.
Justeru, setiap anggota masyarakat perlulah lebih berhati-hati apabila menerima sesuatu informasi dan maklumat sebelum membuat keputusan untuk berkongsi dengan orang lain. Masyarakat juga perlu merujuk kepada pihak yang berwajib untuk memastikan sesuatu informasi yang diterima itu adalah benar atau sebaliknya sebelum membuat sebarang tindakan berkongsi dengan rakan-rakan.
2. Alat menabur fitnah
Media sosial juga sering kali digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan fitnah sama ada mengenai seseorang individu, masyarakat dan negara bagi mencapai sesuatu matlamat. Ia dilakukan dengan cara menyebarkan cerita rekaan dan tidak berasas bagi tujuan menjatuhkan jawatan atau maruah pihak tertentu.
Budaya suka menabur fitnah ini bukan sahaja sangat berbahaya kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah masyarakat, malah ia juga boleh menimbulkan perpecahan dan konflik. Kehancuran negara Iraq adalah contoh terbaik yang berpunca daripada budaya fitnah yang digunakan oleh pihak yang berkepentingan di negara tersebut.
3. Menghilangkan kepercayaan masyarakat luar
Untuk mencapai kemajuan dan pembangunan sesebuah masyarakat, kepercayaan daripada pihak luar amat diperlukan agar mereka tidak berasa sangsi untuk terus melabur di negara ini.
Bagi membolehkan pihak luar menaruh kepercayaan terhadap negara ini, anggota masyarakat perlulah sentiasa memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman, sejahtera dan harmoni. Tanpa adanya kriteria seperti ini, adalah amat sukar untuk menarik pihak luar datang melabur dan melaksanakan pelbagai aktiviti ke arah kemajuan dan pembangunan negara.
Rumusan
Walaupun media sosial mampu memberikan seribu macam kebaikan kepada masyarakat untuk mencapai pelbagai matlamat dan tujuan, ia juga mampu untuk menghancurkan sesebuah negara jika ia disalah guna. Budaya seperti ini jika dibiarkan berterusan akan menjadi barah kepada kemajuan dan pembangunan kepada sesebuah masyarakat.
Justeru, setiap ahli masyarakat perlu mengambil langkah proaktif untuk memastikan agar media sosial ini digunakan untuk tujuan kebaikan agar masyarakat Malaysia akan terus maju pada masa yang akan datang.
0 comments:
Post a Comment