My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 29 May 2017

    Rakyat Malaysia Dan Pengganas, Di Mana Puncanya? - Siri 1



    Isu pengganas di seluruh dunia sememangnya cukup memeningkan. Manakan tidak, majoriti pengganas yang bergiat aktif hari ini boleh dikatakan datangnya dari umat Islam yang begitu mudah di hasut dengan pelbagai dakwah palsu yang akhirnya menyebabkan mereka begitu taksub kepada sesuatu perjuangan yang sia-sia.

    Di rantau Asia Tenggara hari ini, kebanyakan ketua yang mengetuai pergerakan pengganas di rantau ini datangnya dari rakyat Malaysia. Sebut sahaja apa jua jawatan dan kepakaran mereka, semuanya jelas menghadirkan gerun kepada kebanyakan kerajaan yang di ancam dengan keganasa melampaui sempadan.

    Kita tidak perlu membicarakan tentang apa yang berlaku di rantau Asia Barat atau beberapa siri serangan bom di beberapa ibu kota di Eropah. Cukup sekadar kita renungkan sejenak apa yang berlaku di Asia Tenggara sejak beberapa dekad yang lepas.

    Sejak dari awal lagi, rantau ini seringkali di jadikan sasaran kumpulan yang mempunyai fahaman ekstrim di mana kebanyakan rekrut yang dilatih di Asia Tenggara akan ditanamkan dengan dokrin, mewujudkan kerajaan Khalifah baru yang merangkumi Selatan Thailand, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Filipina.

    Fahaman ini mungkin berasaskan kepada kewujudan kerajaan-kerajaan Islam rantau Asia Tenggara yang hebat seperti kerajaan Islam Pattani, Kerajaan Melayu Melaka, Demak, Sulu dan macam-macam lagi. Bertitik tolak dari sinilah, maka oriantasi pengganas ini menzahirkan hasrat untuk mewujudkan sebuah kerajaan Islam berasaskan khalifah di Nusantara.

    Satu lagi punca kenapa wujudnya pengganas adalah keyakinan terhadap satu dakyah yang tidak diketahui kebenarannya iaitu kemunculan Imam Mahadi yang kononnya di lahirkan di wilayah Nusantara. Oleh yang demikian, kumpulan ekstrimis ini dikatakan cuba mewujudkan satu pasukan tentera dengan membina sebuah kerajaan yang dikhususkan khas buat Imam Mahadi kelak.

    Namun, lain pula halnya di Filipina dan Selatan Thailand kerana kewujudan pengganas di Selatan Filipina dan Thailand ini hasil daripada kemahuan mereka menuntut kemerdekaan. Mereka ini sebenarnya telah dibawa ke meja rundingan untuk meredakan ketegangan namun seringkali tergugat akibat banyak faktor yang adakalanya sengaja diwujudkan oleh kumpulan-kumpulan pengganas.

    Memang menghairankan, kenapa begitu mudah penduduk di Asia Tenggara terutamanya mereka yang beragama Islam terpengaruh dengan dakyah karut sebegini? Lihat sahaja senarai rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung dalam aktiviti keganasan di seluruh dunia. Di Syria sahaja, dipercayai, lebih 50 orang terlibat secara langsung dalam aktiviti pengganas Daesh.

    Itu belum lagi dihitung berapa ramai rakyat Malaysia yang telah menjadi korban semasa kebangkitan Al Qaeda dan Taliban di Afghanistan. Bagaimana pula penglibatan rakyat Malaysia di dalam organisasi pengganas di Asia Tenggara? Ada yang sudah menjadi pakar membuat bom, komandan tertinggi, rekrut dan sebagainya.

    Inilah yang menjadi ancaman sebenar terhadap negara. Setelah menerima ajaran sesat kononnya untuk berjihad, mereka akan keluar dan menyertai kem-kem pengganas sebelum mereka menyasarkan pula negara sebagai tempat untuk mereka bertapak. Boleh dikatakan, inilah pergerakan pengganas kelahiran Malaysia yang telah menerima ajaran sesat dan songsang.

    Dunia hari ini tidak pernah mengalu-alukan kehadiran pengganas seperti Daesh, Al Qaeda, Taliban dan macam-macam nama lagi. Di Malaysia khasnya, kita adalah sebuah negara yang hidup dengan penuh toleransi. Islam tidak pernah mengajar kita membunuh sewenang-wenangnya orang yang tidak bersalah. Malah Islam juga merupakan agama yang penuh kelembutan.

    Tidak pernah walau sekalipun Rasullullah S.A.W meengajar umatnya untuk membuat bom, bom diri sendiri di dalam kelompok ramai, menyembelih musuh, mewujudkan skuad-skuad yang tidak diketahui apa tujuannya dan bermaca-macam lagi. Justeru, dari mana asalnya perjuangan gila ini jika tidak kerana kemahuan dan kehendak diri sendiri setelah merelakan diri dihasut dengan kebencian?
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Rakyat Malaysia Dan Pengganas, Di Mana Puncanya? - Siri 1 Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top