My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 20 May 2017

    Ramadan Bukan Bulan ‘Menelan’ Makanan



    HANYA seminggu sahaja lagi umat Islam akan memulakan ibadah puasa Ramadan. Ramadan bulan yang sangat istimewa kerana Allah menyediakan rahmat dan keampunan kepada mereka yang mencari dan mahu merubah diri kepada keadaan yang lebih baik di sisi-Nya. Mulai sekarang, banyak nasihat dan penerangan mengenai Ramadan disebarkan di surau, masjid dan media. 

    Kebanyakannya telah kita dengari sejak kecil. Namun ada satu nasihat yang kedengaran hanya dalam beberapa tahun kebelakangan. Mauduknya lebih kurang sama dengan apa yang disebarkan melalui WhatsApp baru-baru ini: Seorang wartawan Syria pernah menulis mengenai kemewahan hidup orang Arab.

    Kata beliau, sekitar tahun 80-an, orang Iraq terkenal dengan kemewahan makanan dan cara makan mereka. Jika mereka makan, meja akan dipastikan penuh dengan makanan. Bila mereka bangun dari meja makan, apa yang baki dianggap sampah walaupun mereka belum menyentuhnya. 

    Nikmat

    Demikian juga di Syria. 'Aku melihat seorang wanita sedang membeli roti, dan dalam perjalanan pulang ke rumah, beberapa biji roti itu jatuh ke tanah. Beliau langsung tidak mengambil roti yang jatuh walaupun menyedarinya. Betapa mewahnya bangsa Arab dengan makanan mereka. Aku belum lagi bercerita mengenai cara makan orang Teluk, mereka makan bagaikan raksasa dan membuang sewenang-wenangnya.

    Kini, orang Iraq dan orang Syria terpaksa makan roti kering yang mereka jumpa di atas tanah. Antara sebab mereka jadi begitu kerana mereka tidak mensyukuri nikmat Allah SWT.’ -Ibrahim al-Khuki Tidak mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan juga diistilahkan sebagai kufur nikmat.

    Agak pelik, jika berpuasa sepatutnya kita mengurangkan jumlah pengambilan makanan, tetapi pada akhir zaman ini umat Islam di Malaysia ‘menelan’ lebih banyak makanan dan minuman pada bulan Ramadan. Barangkali jumlah penduduk bandar bertambah mendadak dan tahap ekonomi kian meningkat, maka keghairahan berbelanja turut melonjak.

    Dahulu, majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar iaitu pendapatan dan kemudahan membeli-belah juga terhad. Juadah berbuka puasa terbatas kepada apa yang dimasak di dapur kerana bazar Ramadan belum wujud.

    Kini di bandar, jumlah bazar Ramadan bertambah setiap tahun dan jenis makanan yang dijual juga pelbagai. Ada sahaja juadah baharu yang perlu dicuba, di samping makanan kegemaran yang diidamkan untuk memuaskan selera ketika berbuka.

    Sisa makanan

    Selepas berbuka dengan pelbagai juadah di atas meja, ramai yang ke masjid dan surau untuk berjemaah solat Isyak dan tarawih. Masjid dan surau di bandar yang setiap tahun menerima semakin banyak duit sedekah Ramadan, turut menyediakan jamuan moreh yang mengenyangkan.

    Apabila pulang ke rumah, jemaah yang sudah kenyang tidak berselera untuk membuka tudung saji yang menutup makanan atas meja. Bangun sahur, makanan yang dibeli di pasar Ramadan tidak lagi dijamah kerana selera ditumpulkan rasa mengantuk.

    Pernah dilaporkan bahawa sisa makanan yang dibuang di tong sampah depan rumah di Kuala Lumpur semakin bertambah setiap tahun di bulan Ramadan. Begitu juga sisa makanan berbuka di masjid dan hotel yang menyediakan jamuan bufet mewah atas tajaan syarikat-syarikat besar untuk anak yatim, media dan pelanggan.

    Pada tahun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melaporkan bahawa rakyat Malaysia membuang 15,000 tan makanan setiap hari, termasuk 3,000 tan yang masih layak dimakan. Timbalan Menteri berkenaan, Noeh Gumbek berkata, pembuangan makanan bertambah terutama pada musim perayaan.

    Sudah tentulah pembaziran makanan ini adalah sifat buruk yang wajib dijauhkan, khususnya oleh umat Islam yang mengaku beriman. Dalam surah al-Furqan, ayat 67 menjelaskan:

    “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

    Allah mengingatkan kita supaya bersederhana dalam berbelanja. Sudah tentulah sikap ini lebih relevan pada bulan Ramadan yang menuntut kita mengawal nafsu melalui ibadah puasa. Jika kita makan lebih banyak, berbelanja lebih besar untuk makan dan membazir pada bulan Ramadan, maknanya kita melakukan perbuatan boros yang Allah tidak redai.

    Allah turut berfirman dalam surah al-Isra’ ayat 26 yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.”

    Alangkah baiknya jika wang yang dibazirkan kepada makanan yang tidak dimakan itu disedekahkan kepada saudara mara, orang miskin dan musafir yang susah dalam perjalanan. Allah memberikan takrif yang sungguh buruk kepada pemboros. Dalam surah al-’Isra’ ayat 27 menjelaskan:

    “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” Semoga kita umat Islam menjauhi perbuatan yang boleh menyebabkan hilang reda Allah terhadap Malaysia. Jangan sampai Allah memberikan azab sebagai peringatan kepada kaum yang kufur nikmat.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Ramadan Bukan Bulan ‘Menelan’ Makanan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top