My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 30 May 2017

    Martabat Warisan Melayu



    Mengenakan tengkolok lengkap bersama persalinan hulubalang mahupun laksamana antara penampilan unik peserta Pertandingan Memanah Tradisional di Pantai Morib Banting, Selangor baru-baru ini. Tidak kisah dalam keadaan cuaca terik, sebahagian besar peserta semuda lapan tahun sehinggalah kepada wanita, masing-masing bangga memperagakan pakaian tradisi Melayu lama itu. 

    Malah gaya mereka tambah menonjol tatkala menggalas busur kayu di bahu berserta kantung kulit terisi anak panah menarik perhatian penonton pertandingan berkenaan.

    Sesuai dengan pertandingan terbabit sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa membawa mesej memartabatkan warisan Melayu menerusi sukan tradisi itu, rata-rata peserta memperlihatkan betapa mereka ini amat menghargai peralatan riadah tradisi itu.

    Pengarah Akademi Seni Tradisional Warisan Melayu, Johan Iskandar berkata pertandingan sebegini dapat membantu meramaikan kumpulan pemanah tradisional dalam kalangan generasi muda terutamanya. “Dibandingkan awal penubuhan komuniti kami bermula dengan keris warisan 2009, jauh bezanya sekarang ini yang mana pencinta riadah tradisi ini hanya sekitar 13 hingga 14 orang. 

    “Ketika itu saya baru pulang daripada pengajian peringkat sarjana di Australia dan menjadi pensyarah di universiti tempatan. Sebenarnya saya sangat cintakan warisan Melayu dan berasa sayangnya kalau seni warisan ini pupus.

    “Saya bermula dengan keris kemudian memanah seterusnya pakaian sehinggalah kepada muzik serta dokumentari berkaitan warisan Melayu dan kini boleh dikatakan komuniti kami mencecah 15,000 orang.

    “Bagi pertandingan kali ini iaitu acara memanah tradisional peringkat negeri Selangor membabitkan 200 peserta bagi tiga kategori iaitu kanak-kanak, lelaki dan wanita. Boleh dikatakan setiap tahun pasti ada muka baru tampil memeriahkan pertandingan. Bagi kami itu dorongan baik untuk terus mengembangkan aktiviti tradisi seperti ini,” katanya.

    Menyentuh harapan terhadap seni warisan mahupun acara riadah disifatkan sunah, bagi Johan pihaknya mengharapkan sokongan berterusan korporat mahupun agensi kerajaan membantu mengembangkan budaya warisan Melayu itu.

    “Setakat ini kami bergantung kepada modal terhad dan berharap suntikan dana berterusan untuk memastikan aktiviti mahupun festival memartabatkan Melayu dapat dilaksanakan.

    “Festival ini perlu menyewa peralatan, kemudahan khemah, logistik dan sebagainya. Syukur kali ini kami mendapat sokongan agensi seperti Jabatan Warisan Negeri membantu menggerakkan pertandingan serta pameran tertentu,” katanya.

    Bagi peserta wanita Nisa Nabilah Mohamad Ismail, 18, kejohanan memanah seperti ini sering mendapat perhatiannya yang meminati acara memanah statik. Dia hadir bersama kakaknya Hana Syazana Mohamad Ismail, 23, tidak kisah menempuh perjalanan jauh dari Rawang ke Morib semata-mata memberi saingan kepada peserta lain.

    “Apalah sangat kalau dibandingkan dengan Morib kerana saya baru saja pulang dari Sarawak untuk pertandingan memanah juga. Boleh dikatakan setiap minggu saya bersama kakak serta bapa mencari pertandingan boleh kami sertai.

    “Cuma untuk pertandingan di Morib bapa saya tidak dapat hadir kerana ada kenduri keluarga. Kalau tidak hampir setiap pertandingan pasti dia ada. Biarpun ia membabitkan disiplin sukan lasak hakikatnya sukan ini lebih menitik beratkan kekuatan mental yang mana memerlukan pemanah ini konsisten ketika melepaskan anak panah dari busurnya.

    “Menggunakan teknik betul serta kekuatan bahagian atas tubuh, untuk perempuan rasanya tidak sukar menarik tali busur. Penting pelajari teknik betul dan fokus arah anak panah dilepaskan,” katanya yang mewakili Kelab Assadad Bukit Sentosa.

    Bagi remaja berusia 16 tahun dari Denai Alam Muhammad Syahin Zainuri, dia tidak gentar bersaing dengan pemanah lebih berpengalaman dalam pertandingan berkenaan.

    “Meskipun baru masuk tahun kedua dalam pertandingan ini, saya tidak berasa tertekan sebaliknya teruja dapat memanah bersama peserta jauh berpengalaman. Penting sukan memanah menekankan teknik betul mengelak risiko kecederaan.

    “Berbeza dengan disiplin memanah ‘recurve’ atau ‘compound’, sebenarnya tradisi lebih susah kerana tiada tempat meletak jari. Ia bergantung kepada individu untuk meletakkan anak panah kepada kedudukan bersesuaian selain memilih busur sesuai.

    “Kalau dalam disiplin statik iaitu ketepatan anak panah dilepaskan pada jarak berbeza turut ditentukan ‘bow foundation’ baik busur lebih kuat atau tali lebih tegang mengikut keperluan pemanah. Bagi saya betul caranya, peluang untuk mengenakan sasaran lebih tinggi selain latihan mencukupi,” katanya.

    Sementara itu pemanah cilik tampil mengenakan persalinan hulubalang berwarna merah hati Aiman Haqiqi Sharum berkata, dia tertarik setelah menyaksikan bapanya beraksi dalam pertandingan. 

    “Sebelum ini ayah sering sertai pertandingan serta bertemu kawannya tetapi setelah saya mencuba sejak tahun lalu perasaannya berbeza. Malah ia bertambah seronok apabila kita bertanding bersama rakan. Lagipun hujung minggu saya lebih manfaat kerana sukan ini bukan saja mengenai disiplin sebaliknya turut membantu saya beriadah,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Martabat Warisan Melayu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top