Seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala anaknya selamat selepas mereka dihanyutkan arus deras ketika mencari rebung bagi juadah untuk keluarga di Sungai Pagalan, Kampung Dangulad, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, mangsa, Daibet Juan, 48, dikatakan dihanyutkan arus deras manakala operasi mencari dan menyelamat dijalankan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.
Anak lelaki mangsa, Endry Daibet, 11, yang berjaya menyelamatkan diri kini trauma namun stabil. Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa dan anaknya keluar rumah untuk mencari rebung di seberang sungai di Kampung Dangulad.
“Ketika mangsa dan anaknya cuba menyeberang sungai itu, kedua-dua mereka dihanyutkan arus deras berikutan hujan lebat malam sebelumnya. Tetapi anak mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala bapanya dihanyutkan arus deras,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, anak mangsa kemudian balik ke rumah dalam keadaan trauma dan hanya memberitahu perkara itu selepas beberapa jam kejadian terbabit berlaku. “Usaha mencari masih diteruskan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan dua bot. Setakat ini, mangsa belum ditemui dan keadaan air sungai deras,” katanya.
0 comments:
Post a Comment