• PANAS

    Tuesday, 16 May 2017

    Teruja Latih Harimau Malaya



    BERAKHIRLAH pencarian ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pelantikan pengendali import dari Portugal, Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada atau lebih dikenali sebagai Nelo Vingada secara rasmi semalam. 

    Keputusan tersebut sekali gus menafikan dakwaan bahawa skuad Harimau Malaya bakal dibimbing oleh rakan senegara Nelo Vingada yang juga bekas pengendali kelab gergasi Greece, Olympiakos FC, Paulo Jorge Gomes Bento atau bekas jurulatih kecergasan Kedah dari Sepanyol, Ramon Marcote.

    Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim percaya corak kejurulatihan yang penuh disiplin dan dominan merupakan faktor utama pengendali berusia 64 tahun itu dipi­lih untuk menggantikan posisi yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Ong Kim Swee.

    “Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami. 

    “Pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kecemerlangan. Kami tidak sabar untuk be­kerjasama dengan Nelo Vingada dan harap (pasukan kebangsaan) menemui kejayaan baharu,” titah baginda menerusi laman Facebook rasmi FAM semalam.

    Sebagai rekod, Tunku Ismail yang dilantik sebagai presiden baharu badan induk bola sepak negara pada Kongres FAM ke-53, Mac lepas telah melantik bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez sebagai ketua jurulatih baharu.

    Bagaimanapun, konflik mengenai masalah gaji tinggi sebanyak AS$40,000 (RM172,900) sebulan yang dituntut oleh Gomez memaksa FAM mencari alternatif baharu sebelum mencapai kata sepakat untuk menawarkan kontrak selama dua tahun kepada Nelo Vingada.

    Sementara itu, Nelo Vingada yang turut dikenali sebagai The Professor mengakui sangat teruja untuk membimbing skuad kebangsaan yang kini berada di ranking ke-158 dunia. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana telah me­ng­hubungi dan kemudian bertemu saya di Johor baru-baru ini. Ia merupakan suatu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia.

    “Saya akui ada banyak tugas yang perlu dilakukan sebaik sahaja tiba di Malaysia, 25 Mei ini,” katanya yang pernah membimbing skuad kebangsaan Portugal dan Jordan sebelum ini. Nelo Vingada akan memulakan tugas pertamanya untuk kempen kelayakan Piala Asia 2019 dalam aksi Kumpulan B pada perlawanan pembukaan menentang Korea Utara di Pyongyang, 8 Jun depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Teruja Latih Harimau Malaya Rating: 5 Reviewed By: Samurai Biru
    Scroll to Top