Selepas menamatkan siarannya 16 tahun lalu, siri televisyen popular 1990-an Baywatch kembali dengan jalan cerita segar dan barisan pelakon baru. Namun, filem arahan Seth Gordon itu dikatakan gagal mencapai sasaran jualan tiket selepas ditayangkan di Amerika Syarikat 25 Mei lalu walaupun mengetengahkan barisan pelakon popular seperti Dwayne Johnson, Zac Efron dan Priyanka Chopra.
Ia turut menyaksikan penampilan istimewa pelakon asal Baywatch, Pamela Anderson dan David Hasselhoff yang membawa watak berbeza.
Bukan saja gagal bersaing dengan Pirates of the Caribbean: Salazar’s Revenge, filem ini turut menerima ulasan kurang memuaskan daripada penonton di laman sosial serta diberikan markah tontonan rendah iaitu 18 peratus oleh laman web filem Rotten Tomatoes.
Antara kritikan terhadap Baywatch menyentuh skrip yang dikatakan mengetengahkan lawak kurang menjadi. Pun begitu, Paramount Pictures mempunyai perancangan menghasilkan sekuel Baywatch dan sudah ada jalan cerita untuknya.
Menurut produser Beau Flynn, penulis skrip Damian Shannon dan Mark Swift akan kembali mengembangkan kisah baru Baywatch. “Yang pastinya, Johnson, Efron dan barisan pelakon wanita akan kembali berlakon.
“Kami ada idea untuk meletakkan mereka dalam dunia baru dan mungkin membabitkan penggambaran di luar negara,” katanya. Pelakon Kelly Rohrbach dan Alexandra Daddario ketika ditemu bual Variety memberi maklum balas positif ketika ditanyakan sekiranya berminat untuk berlakon dalam sekuel Baywatch.
Sementara itu, Priyanka yang membesar menonton Baywatch mendedahkan ketika muda menyangka rakyat Amerika Syarikat merupai watak dalam Baywatch. “Siri itu sangat popular dan saya ingat orang Amerika Syarikat kelihatan seperti watak dalam Baywatch selain mempunyai rambut perang. Malah, saya ingat Amerika Syarikat banyak pantai.
“Pada usia 13 tahun, saya datang ke California dan agak terkejut apabila melihat keadaan berbeza dari dalam Baywatch,” katanya. Pelakon itu turut menceritakan tidak berkesempatan bertemu dengan Hasselhoff, namun menerima panggilan daripada bintang itu yang memberitahu perancangannya menghasilkan filem Bollywood.
“Dia memberitahu suka menonton filem India dan mahu bekerjasama dengan saya,” katanya. Dalam pada itu, Efron menceritakan pengalamannya bercium dengan Johnson dalam salah satu babak Baywatch kepada pengacara The Late Late Show, James Cordoz.
Pelakon berusia 29 tahun itu turut menggambarkan ciuman terbabit seperti iklan Winterfresh dan seolah-olah tidak kisah melakukannya. “Ia memang gila dan berasakan dia melakukannya dengan baik. Dia memang bagus dalam semua perkara. Ciuman itu bukan dalam senarai pencapaian saya, namun saya sanggup melakukan apa saja untuk merasanya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment