Tidak akan ada sesiapa yang menang dalam peperangan di Syria, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam ucaptamanya sejak memegang jawatan tersebut di sini kelmarin.
“Sudah tiba masanya untuk memahami bahawa dalam peperangan ini tiada siapa yang boleh menang sebaliknya mula menjadi satu bahaya kepada kita semua kerana meningkatkan ketidakstabilan serantau dan keganasan antarabangsa.
“Keamanan di Syria atau di mana-mana kawasan konflik hanya tercapai jika semua pihak yang terlibat memahami yang mereka tidak akan menang,” ujar Guterres yang turut menyenaraikan negara dalam konflik lain seperti di Libya, Sudan Selatan dan Yemen.
Ketika ditanya mengenai ketidakupayaan PBB dalam mencari penyelesaian politik terhadap perang-perang tersebut, Guterres mengakui diplomasi antarabangsa berada dalam keadaan ‘lumpuh’. “Hari ini, Majlis Keselamatan PBB hanya boleh menyelesaikan krisis jika kesemua negara di rantau ini bersatu,” ujarnya yang mengkritik penggunaan kuasa veto untuk menyekat resolusi bertujuan untuk menamatkan krisis.
Menjawab soalan mengenai kebangkitan nasionalisme di seluruh dunia, beliau berkata, wujud kemarahan dalam kalangan sebilangan penduduk apabila mereka melihat kekayaan dan kemewahan orang lain, manakala mereka tertinggal dan terpinggir.
“Tahap ketidaksamaan dunia semakin meningkat. Hanya satu jalan untuk mengelakkannya iaitu dengan menangani masalah yang ada seperti mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan program sosial bagi membantu mereka yang memerlukan,” jelas Guterres.
Guterres yang merupakan bekas Perdana Menteri Portugal menggantikan Ban Ki-moon dari Korea Selatan pada Januari lepas.
0 comments:
Post a Comment