Baru-baru ini tersebar sebuah artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar perdana di mana artikel berkenaan memaparkan keluhan para peniaga di bazar Ramadhan yang terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan oleh cukai GST. Agak menghairankan kerana GST hanya dikenakan terhadap barangan yang sudah siap di proses dan bukannya barangan keperluan asas dan mentah.
Disebalik rungutan dan keluh kesah ini, sepanjang pemerhatian untuk 4 hari di bulan Ramadhan tahun ini, memang kita akan dapat saksikan betapa "terseksanya" rakyat Malaysia menyambut bulan yang penuh barokah ini.
Sebagai permulaan, mari kita lihat betapa terseksanya rakyat Malaysia apabila terpaksa berasak-asak di kesemua bazar-bazar Ramadhan yang ada di seluruh Malaysia. Sepanjang pemerhatian, penyeksaan mereka menahan lapar dan dahaga di waktu bulan Ramadhan ini bertambah apabila terpaksa berasak-asak dengan pengunjung lain hanya mahu membeli murtabak, popiah dan lain-lain juadah lagi.
Betapa seksanya mereka sehinggakan mereka langsung tidak mengambil peduli berapa harga makanan yang mereka beli. Apa yang penting, seksa mereka dapat dilepaskan tanpa perlu berfikir lagi.
Menyebut tentang bazar Ramadhan, saban tahun, akan ada sahaja peniaga baru yang akan membida tapak-tapak bazar Ramadhan yang adakalanya mencecah angka RM 5,000 sebulan. Bukan senang sebenarnya mahu mencari RM 5,000 pada masa sekarang namun demi penyeksaan hidup yang mereka hadapi, mereka gagahkan juga membayar kerana mereka tahu, pasti ada orang ramai yang terseksa hidupnya membeli barangan mereka.
Sekarang, mari kita beralih pula kepada satu lagi penyeksaan yang sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Di kesemua restoran dan hotel-hotel di seluruh negara, tempahan untuk berbuka dilaporkan penuh sepanjang bulan Ramadhan ini. Nampaknya, ramai yang terlalu terseksa sehingga tidak sanggup lagi untuk berbuka di rumah seperti sebelum ini.
Apa yang menariknya, harga buffet untuk sekepala cukup menyeksakan. Sepanjang pemantauan, harga paling murah untuk satu kepala bagi menikmati buffet Ramadhan adalah serendah RM 45 sekepala dan paling mahal boleh mencecah angka RM 130 sekepala. Menu yang ditawarkan memang menyeksakan. Siapa mahu menolak menu kambing golek dan pelbagai hidangan yang menyeksakan ini?
Lebih melucukan, tinjauan di beberapa buah masjid yang menawarkan hidangan moreh buat jemaahnya ada menampakkan penurunan. Mungkin juga menu-menu di masjid hari ini tidak lagi menyelerakan kerana tidak menghidangkan makanan ala western atau kambing golek mahupun nasi briyani ala-ala arabian.
Ini baru 4 hari umat Islam di Malaysia ini berpuasa. Tunggu sehingga 10 hari terakhir Ramadhan pula apabila kita akan dapat menyaksikan betapa terseksanya rakyat Malaysia mahu membeli baju untuk dipakai hanya sehari atau mungkin 2 hari pada bulan Syawal. Kemudian, baju-baju berkenaan akan digantung di dalam almari sehingga tibanya Aidiladha.
Susah betul hidup di zaman pentabiran Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak inikan. Mahu makan pun terpaksa bersesak-sesak di bazar-bazar Ramadhan. Malah, hendak berbuka pun terpaksa mencari restoran-restoran dan hotel-hotel yang ada menawarkan kambing golek sebagai menu utamanya. Sabarlah rakyat Malaysia. Kita memang tengah sengsara dan terseksa sekarang ini!
0 comments:
Post a Comment