Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menganjurkan sesi pandu uji pikap Mitsubishi Triton bersama 16 wakil media tempatan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini. Program berkenaan memberi peluang kepada wartawan memandu uji pikap Triton terbaru yang diperkenalkan di pasaran tempatan menerusi model VGT Aventure X, Triton VGT Adventure, Triton VGT versi automatik dan Triton VGT (manual).
Majlis pelepasan konvoi di Tanjung Aru disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi untuk memulakan perjalanan selama dua jam menuju Kota Belud. Di Kota Belud, kumpulan media memandu di laluan lasak sejauh 30 kilometer (km) dengan melalui kawasan berlumpur, berbukit serta mengharungi sungai.
Selepas selesai melalui laluan lasak, konvoi pulang ke Kota Kinabalu untuk jamuan malam. Sesi pemanduan dengan jarak sejauh 260 km itu bukan saja menguji kemampuan pikap berkenaan, malah memberi peluang kepada media menikmati keindahan alam semula jadi negeri di bawah bayu itu yang mendamaikan.
Shinnishi, pada sidang media berkata, Triton adalah pikap serba boleh yang memiliki kemampuan di luar jalan, lasak dan dilengkapkan dengan ciri keselamatan optimum serta tawaran jaminan 200,000 km atau lima tahun.
Menurutnya, varian terbaru itu adalah generasi baru yang dipadankan dengan enjin Mivec 2.4 turbo menggantikan enjin 2.5 liter Turbodiesel sebelum ini. Enjin dipertingkatkan itu mampu menghasilkan kuasa 181 Ps dan tork 430 Nm berbanding enjin 2.5 Commonrail turbo (178Ps dan 400Nm) sebelum ini.
Model ini juga menggunakan enjin aluminium 30 kilogram lebih ringan berbanding enjin terdahulu selain ujian mendapati ia mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 15 peratus. Antara ciri menarik terhadap wajah jentera ini adalah kombinasi lampu jenis HID, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus belakang.
Model dibekalkan dengan enjin Mivec 2.4 VGT ini juga hadir dengan transmisi manual enam kelajuan. Bagi mereka yang inginkan model premium dalam variannya, Adventure X adalah pilihan terbaik. Ia hadir dengan ciri tambahan untuk bampar depan, palang sports, kabin belakang bertutup dan rim aloi 17 inci.
Jentera Triton terbaru juga dilengkapi Kawalan Kestabilan Aktif serta sistem kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Trailer Sway Control (Kawalan ayunan treler) serta pengunci pintu pengesan-kelajuan automatik.
Untuk melengkapkan ciri keselamatannya, model VGT Adventure atau VGT Adventure X, dilengkapi tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan di bahagian lutut pemandu). Selain aspek keselamatan, wajah Triton VGT turut dipertingkatkan dengan padanan gril krom gelap bahagian hadapan serta rekaan baharu pemijak tepi.
Untuk keselesaan pemanduan, ruang kabin dilengkapi stereng pelbagai fungsi termasuk sistem kawalan audio bagi menggantikan rekaan pada model sebelumnya. Bahagian tempat duduknya, dibalut dengan kulit serta sistem pelarasan aumotik dan papan pemuka lebih moden.
Secara keseluruhan, jentera pikap terbaru Mitsubishi diperkenalkan ini mampu memberi saingan kepada model lain di pasaran terutamanya bagi pengguna yang inginkan jentera pikap sebagai kenderaan urban lasak serta pelbagai fungsi.
0 comments:
Post a Comment