SEDIKIT sukar untuk meluahkan rasa kurang berpuas hati terhadap material baharu terbitan kugiran bergenre nu metal yang berjaya menjual album pertama mereka sebanyak 11 juta unit sekitar 17 tahun lalu. Namun, itu yang berlaku ketika mendengarkan album studio ketujuh milik Linkin Park berjudul One More Light.
Walaupun band yang berasal dari California, Amerika Syarikat itu cuba menyuntik elemen electropop dalam One More Light, namun, impak yang ditinggalkan menerusi setiap lagu tidak cukup kuat untuk meletakkan album tersebut sebagai projek terbaik mereka setakat ini.
Hal ini kerana, pemuja Linkin Park sudah sedia terikat dengan signatur muzik band tersebut sejak penerbitan dua album pertama mereka iaitu Hybrid Theory (2000) dan Meteora (2003).
Jangkaan khalayak sudah tentu jauh lebih tinggi jika Linkin Park pernah menghadirkan ribut fenomena menerusi single-single mereka seperti In The End, Somewhere I Belong, Faint, Numb dan What I’ve Done.
Begitu juga dengan rantaian lagu yang dipetik daripada album Minutes To Midnight (2007), Linkin Park berjaya mengukuhkan legasi mereka dengan single What I’ve Done, Bleed It Out dan Shadow Of The Day.
Fenomena tersebut kelihatan agak mustahil untuk dikembalikan oleh mereka apabila single utama yang dipetik daripada One More Light iaitu Heavy tidak berjaya memenangi hati peminat. Komposisi dalam Heavy jauh berbeza daripada muzik Linkin Park terdahulu.
Jalur muzik lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Linkin Park bersama Julia Michaels dan Justin Tranter itu kedengaran begitu komersial, barangkali disebabkan sentuhan Michaels yang sebelum ini yang pernah mencipta lagu untuk Britney Spears dan Selena Gomez.
Begitu juga dengan Good Goodbye yang boleh disifatkan sebagai sederhana, pendengar sekadar diberikan acuan lagu-lagu lama Linkin Park menerusi suara mendatar Chester Bennington, tidak lebih daripada itu. Linkin Park mungkin berjaya meletakkan diri mereka di luar ruang selesa, atau dalam erti kata lain menghasilkan sebuah album yang tidak pernah difikirkan oleh peminat.
Namun, gabungan elemen elektronik dengan komposisi pop dalam lagu tersebut sedikit sebanyak membunuh akar muzik mereka yang satu masa dahulu berjaya mengubah atmosfera muzik komersial global.
0 comments:
Post a Comment