Bergelar ibu tunggal tidak membuatkan sambutan Aidilfitri dua selebriti ini muram sebaliknya disambut meriah bersama zuriat tersayang. Malah, akui Elly Mazlein dan Syura, kemeriahan lebaran kali ini sama seperti tahun terdahulu.
Elly Mazlein
Elly yang mesra membahasakan diri Kak Lina berkata dengan adanya buah hatinya, Putri Sara Sefhia, Aidilfitri jadi cukup bermakna. “Aidilfitri tidak pernah sunyi dengan adanya ramai insan tersayang di sekeliling saya terutama abah dan Sefhi.
“Saya sangat bahagia dan tenang kerana diri ini diterima dan disayangi. Paling menarik, saya rasa Tuhan menggantikan arwah mama dengan kehadiran Sefhia,” katanya.
Kata Elly, tahun ini juga, Sefhia nampaknya sudah mula faham keseronokan beraya apabila mula memberi maklum balas kepada anggota keluarga yang bermanja dengannya. “Sefhia seronok melihat orang ramai bermain bunga api dan memberikan reaksi kalau ada saudara-mara bergurau dengannya.
“Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghadiahkan baju raya kepada Sefhia,” katanya. Tahun ini juga, Sefhia turut menerima duit raya mencecah RM3,000 daripada kenalan. “Saya sendiri terkejut apabila ada rakan beri duit raya sebanyak itu kepada Sefhia. Rezeki dia dan saya bersyukur kerana ramai menyayanginya,” kata Elly.
Menjadi rutin Elly, setiap kali tiba Aidilfitri dia dan keluarga akan pulang ke Tanjung Malim, Perak. Selepas seminggu bercuti di kampung, dia akan kembali ke ibu kota untuk menyambung penggambaran. Mengulas perihal kerjaya, Elly berkata sempena musim perayaan ini dia terbabit dalam 10 program TV.
“Antaranya, beberapa telefilem termasuk Diva Raya untuk tayangan Astro, Asam Pedas Phewit (TV3), Baju Melayu Tak Berwarna (RTM), Ketupat Buat Nenek (TV9) dan banyak lagi. Program lain adalah Gegar Vaganza Raya, Meletop Raya dan Gitu Gitu Raya yang disiarkan di Astro,” katanya.
Syura Badron
Ibu kepada Nurul Dania Irdani, 10, Nurul Qaisara Sofea, 8 dan Muhammad Irfan Aryan, 6, ini pula lain ceritanya. Selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal, Syura masih merasai nikmat menyambut Aidilfitri bersama keluarga bekas mentua.
“Seperti tahun sebelum, saya beraya di rumah bekas mentua kerana ia sudah jadi rutin sejak zaman bujang. Bekas suami pun memahami, anak disiapkan oleh saya pada pagi Aidilfitri. Seronok dapat berkumpul beramai-ramai,” katanya.
Syura turut berkongsi pengalaman lucu sepanjang berada di rumah keluarga bekas suaminya itu. “Saya dan bekas suami akan menjadi perhatian kerana ahli keluarga lain akan melihat reaksi kami. Lucu juga pada awalnya tetapi kalau saya berada di tempat mereka pun, saya nak tengok reaksi bekas suami isteri menyambut Aidilfitri bersama,” katanya.
Seperti kebanyakan wanita lain, Juara Masterchef Celebrity Malaysia musim kedua ini menyediakan beberapa juadah istimewa pada 1 Syawal lalu untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu. “Dulu, saya memang tidak masuk dapur, tetapi selepas menyertai Masterchef baru sedar sebenarnya boleh memasak.
“Apabila sudah bergelar ibu tunggal, saya bertanggungjawab memasak untuk keluarga. Pada sebelah siang, adik-beradik saya akan menyiapkan bahan untuk memasak. Pada malam Aidilfitri, saya akan masak menggunakan bahan yang sudah disediakan itu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment