Kerajaan negeri terus memperkasakan industri pelancongan apabila mewujudkan Borneo Ant House (BAH) yang memberi peluang kepada pengunjung untuk meneroka galeri bawah tanah koloni serangga itu.
Galeri tarikan pelancong selepas Rumah Terbalik Borneo itu akan dibuka secara rasmi esok. Ia terletak kira-kira 38 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu dan mempamerkan habitat 700 spesies semut yang ada di sekitar Sabah dan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, terdapat juga pameran pakaian dan senjata tradisional masyarakat Bajau, Dusun Lotud, Iban dan Bidayuh di premis itu.
Katanya, pengunjung juga boleh menikmati taman tema mini yang terdiri daripada rumah pokok, jambatan gantung dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. “Kerajaan yakin BAH akan membantu menyumbang pada pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan. Kita memperoleh pendapatan sebanyak RM7.5 bilion melalui 3.2 juta pelancong yang datang ke Sabah pada tahun lalu.
“Kita yakin BAH akan menjadi tarikan baharu kepada pelancong khususnya warga China sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya selepas melancarkan BAH di Kampung Kindu dekat sini semalam.
0 comments:
Post a Comment