SEPANJANG Ramadan ini, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1, TV2, TVi dan stesen-stesen radio seperti Radio Klasik, KL FM, Traxx FM serta Asyik FM menjanjikan barisan program terbaik buat penonton dan pendengar.
Tampil dengan tema Sucikan Hati, Salam Ramadan untuk tahun ini, RTM menyajikan pelbagai program menarik merangkumi rancangan berbentuk keagamaan, telefilem, drama bersiri, dokumentari, majalah dan program masakan bagi tontonan seisi keluarga.
Menurut Pengarah Bahagian Program TV RTM, Norliza Mohd. Ali, pihaknya sentiasa berbesar hati dalam menyampaikan mesej positif menerusi program-program terbaik yang ditawarkan buat penonton.
“Setiap tahun, RTM sentiasa bersiap sedia dengan perancangan dalam menyajikan program terbaik kepada penonton. Bukan sekadar menjadi bahan hiburan, namun setiap program yang ditawarkan oleh RTM mempunyai mesej yang positif selari dengan bulan Ramadan yang mulia ini.
“Setiap saluran di RTM iaitu TV1, TV2, TVi dan stesen radio mempunyai kekuatan tersendiri menerusi program yang disajikan. Seperti contoh, program Ketuk-Ketuk Ramadan yang memasuki tahun ke-10 penyiarannya pada tahun ini menjadi bukti bahawa ia sentiasa mendapat tempat dalam hati penonton,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ramadan RTM di Angkasapuri baru-baru ini.
Saluran TV1 masih menyajikan program utama sebagai daya tarikan buat penonton iaitu Syahadah yang sudah pun memasuki musim ke-12. Bertemakan Raikan Nur Islam, program tersebut memaparkan keindahan Islam di Maghribi selain paparan kisah menarik mengenai mualaf di negara ini.
Ia bersiaran pada setiap hari bermula 25 Mei lalu pukul 6 petang. Pada masa sama, program popular Ketuk-Ketuk Ramadan masih menjadi tumpuan pada tahun ini.
Menampilkan barisan artis popular seperti Elly Mazlein, Elfira Loy, Kilafairy dan Khai Bahar, program yang dikendalikan oleh pengacara dan penerbit Sheila Rusly itu sentiasa menjadi program yang dinanti-nantikan oleh penonton saban tahun.
Malah, terdapat beberapa drama bersiri 30 episod Seharum Mawar dan empat telefilem khas iaitu Srengenge, Detik Berputar, Kasut Untuk Ayah dan Nafas Yang Tertinggal yang turut disajikan kepada penonton.
Sementara itu, antara program menarik yang ditawarkan untuk siaran di TV2 pula termasuklah drama bersiri Cerita Ramadan Hazim dan Nazar Cinta Ramadan. Selain itu, terdapat juga program Kecoh Dapur yang dikendalikan oleh Ieda Moin dan Noorkhiriah.
Tahun ini, TV2 turut menyajikan program baharu berjudul Musafir menampilkan penyanyi Mawi yang mengembara ke beberapa buah desa terpencil untuk mencari keunikan masyarakat di kawasan pedalaman meraikan bulan Ramadan.
Tidak ketinggalan, saluran TVi pula memaparkan program khas Sufi siri kedua yang membincangkan topik keagamaan serta motivasi dalam kehidupan seharian. Selain itu, sebuah program masakan Biscotti turut menjadi program tumpuan yang memaparkan Cef Zam berkongsi pelbagai aneka resipi kek dan biskut raya bersama penonton.
Bukan sekadar program di kaca televisyen, RTM turut menyajikan juadah terbaik bagi pendengar radio termasuk program utama Jelajah Ramadan 2017 yang merupakan program tonggak saluran radio RTM setiap tahun.
Tahun ini, Jelajah Ramadan RTM 2017 sudah memasuki edisi keenam dan bakal menjelajah ke seluruh negara bermula hari ini hingga 16 Jun bagi berkongsi pelbagai aktiviti menarik bersama orang ramai.
0 comments:
Post a Comment