Syarikat pemaju hartanah bersepadu, Astaka Holdings Limited (Astaka), baru-baru ini melancarkan projek perbandaran strata di Bukit Pelali, Pengerang, dekat sini, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM2.3 billion. Majlis perasmian projek Bukit Pelali @ Pengerang yang dibangunkan di kawasan seluas 146 hektar itu disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Padu Sdn Bhd Datuk Zamani Kasim berkata, projek yang akan dibangunkan menerusi 10 fasa bagi tempoh lapan hingga 10 tahun itu mampu merancakkan pembangunan di Pengerang.
Beliau berkata, Bukit Pelali dibangunkan secara usaha sama Astaka menerusi Bukit Pelali Properties Sdn Bhd yang menguasai 51 peratus pegangan, manakala bakinya dipegang Saling Syabas Sdn Bhd. Menurutnya, projek itu adalah perbandaran strata pertama yang dibangunkan Astaka. Melalui Fasa 1A, pembangunan itu sudah dijual 50 peratus setakat ini.
“Projek itu membabitkan 3,884 kediaman termasuk 1,598 unit bagi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), kedai pejabat, rumah kelab, hotel, hospital swasta, pusat beli belah, masjid, stesen minyak dan kedai makan.
“Menerusi Fasa 1A yang dijangka siap menjelang 2018, 234 rumah teres dan 19 rumah kedai dibina, manakala Fasa 1B pula membabitkan pembangunan 143 rumah teres bertingkat, 73 kediaman kluster dan 10 semi D yang dijangka siap 2019,” katanya.
Beliau berkata, projek itu bakal merancakkan pembangunan di Pengerang terutama bagi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIPC). “Ia dijangka menyokong pembangunan PIPC yang giat dilaksanakan di kawasan berkenaan, malah kami berbangga menjadi pemaju pertama membangunkan perbandaran strata di Pengerang bagi kemudahan orang ramai.
“Paling penting, kami bukan saja membina rumah semata-mata, tetapi projek ini adalah pembangunan bandar yang lengkap dan projek mega lain di sekitar kawasan ini serta taman tema di Desaru,” katanya.
Menurutnya, setiap unit kediaman ditawarkan pada harga RM300,000 hingga RM800,000. “Kami turut menawarkan lot kedai tiga tingkat berharga RM1.25 juta manakala kondominium RM200,000 ke atas. Pembangunan ini pasti meningkatkan keceriaan dan menarik pelawat terutama dalam kalangan keluarga, ahli perniagaan dan pelabur ke Pengerang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment