Penerbit telefilem Kembalikan Syawalku, Arie Zaharie amat bertuah kerana dapat menggandingkan pelakon veteran hebat iaitu Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar dan Sabri Yunus dalam drama rayanya itu. Lakonan hebat tiga pelakon itu dilengkapkan lagi dengan penampilan pelakon muda iaitu Syafie Naswip dan Sharifah Amani, yang tidak pernah gagal membawakan watak masing-masing.
Julung kali Fauziah berkongsi lensa kamera dengan Fatimah dan buat kali pertama juga, Fatimah berlakon dengan anaknya, Amani. Bukan itu saja, kali pertama juga Fatimah berpasangan dengan Sabri sebagai suami isteri.
Menurut Arie, dia bersyukur kerana ketiga-tiga pelakon veteran itu tidak menghampakan tawaran yang diberikan kepada mereka untuk muncul dalam telefilem itu. “Tak perlulah bercakap soal profesionalisme apabila bekerja dengan pelakon lama seperti mereka kerana komitmen yang diberikan sangat luar biasa. Ketika latihan membaca skrip, mereka semua datang tanpa banyak soal.
“Penggambaran dilakukan di Batu Gajah, Perak, berlatarkan suasana kampung yang tenang dan indah. Kembalikan Syawalku siap dua minggu sebelum tibanya Ramadan.
“Saya bukan saja berpuas hati dengan lakonan mereka semua malah setiap sudut penggambaran yang dirakamkan juga cantik. Saya harap telefilem ini dapat mengulangi kejayaan telefilem Cermin Kasih yang saya terbitkan pada Oktober 2015. Heroin filem itu, Tiz Zaqyah menang kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2016,” katanya.
Ujar Arie lagi, walaupun dia meletakkan hero dan heroin berusia dalam Kembalikan Syawalku tetapi dia percaya kekuatan jalan cerita dan lakonan mantap mereka mampu membuatkan penonton terpaku menontonnya.
Telefilem arahan Pitt Hanif itu akan disiarkan pada 24 Jun ini di Astro Citra dan Mustika HD, jam 9 malam.
Sinopsis
Kembalikan Syawalku mengisahkan Mak Chah atau Aishah (lakonan Fauziah Nawi) tidak sabar mahu berjumpa bakal menantu pada Aidilfitri nanti. Sebelum puasa lagi, Mak Chah sudah mula membuat persediaan untuk menyambut hari raya yang meriah berbanding tahun-tahun sebelum.
Sementara itu Mak Pah atau Latifah (Fatimah Abu Bakar) pula tidak sabar mahu berhari raya dengan anak bongsunya selepas empat tahun anak bongsu itu berada di luar negara. Suatu hari, Mak Pah tersedar ada ular masuk ke dalam rumahnya.
Puaslah dia dengan suaminya, Pak Jamil, mencari ular itu dan suasana menjadi kecoh dan riuh- rendah apabila ular itu tiba-tiba muncul dan lari ke bawah almari. Pada sebelah malam, Pak Jamil lenguh satu badan lalu Mak Pah mengajak Pak Jamil tinggal dengan anak mereka di bandar kerana bimbangkan keselamatan mereka berdua jika terus tinggal di kampung.
Apatah lagi rumah mereka paling hujung dan jauh dari jiran. Kes pecah rumah pula menjadi-jadi namun Pak Jamil enggan kerana dia lebih selesa tinggal di rumahnya sendiri. Di rumah Mak Chah pula, anaknya Akil (Syafie Naswip) kehilangan ‘thumb drive’ yang ada kerja penting di dalamnya.
Akil menuduh ibunya sudah terbuang ‘thumb drive’ itu ketika mengemas. Mak Chah merajuk lalu dia tidak mahu tumpang Akil untuk ke rumah pelanggan urutnya. Akil bergegas ke pejabat dan mendapati ‘thumb drive’ itu ada atas meja di pejabatnya.
Dia berasa amat bersalah kepada ibunya dan dalam perjalanan untuk bertemu gadis idamannya, Julita, dia terbabit dalam kemalangan jalan raya. Dia cedera parah dan tak sedarkan diri di hospital. Manakala Pak Jamil pula terjatuh ketika hendak menebang dahan pokok yang terkena tingkap rumahnya kerana dia mensyaki ular masuk ikut situ.
Akibatnya Pak Jamil dimasukkan ke hospital. Dek insiden itu, Mak Chah dan Mak Pah berkenalan. Mereka bersembang mengenai diri masing-masing dan dalam sekelip mata, hubungan mereka menjadi rapat.
Kesan kemalangan itu, Akil lumpuh dari pinggang sehingga ke bawah dan dia sangat kecewa serta mula bertanya kenapa dia diberikan musibah itu sedangkan dia tidak pernah menyakiti sesiapa. Mak Chah terpaksa tenangkan Akil yang tidak dapat menerima hakikat. Pak Jamil pula kerana faktor usia mengalami kesan sampingan yang serius.
Jantung dan darah tingginya terpaksa dipantau. Doktor tidak dapat beritahu bila Pak Jamil boleh keluar dari hospital. Mak Pah pula bimbang tidak dapat menyambut raya di rumah. Untuk mengetahui apakah yang berlaku kepada dua keluarga itu menjelang Syawal, apakah Akil dan Pak Jamil dapat menyambutnya di rumah?
Jangan lupa untuk menonton Kembalikan Syawalku yang akan disiarkan pada malam Aidilfitri di saluran Astro Citra dan Mustika HD, jam 9 malam.
0 comments:
Post a Comment