My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 21 June 2017

    Kempen ‘Bawa Beg Bah’ Mulai 1 Ogos



    Kempen 3B atau ‘Bawa Beg Bah’ akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini bertujuan menggalakkan orang ramai membawa beg atau bakul sendiri apabila membeli-belah, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun. 

    Beliau berkata kempen 3B merupakan inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menjenamakan semula kempen pengurangan penggunaan beg plastik yang dilancarkan pada 7 Jun 2010, dan kempen itu akan dilaksanakan pada Sabtu, Ahad dan Isnin.

    “Saya difahamkan terdapat 384 premis perniagaan yang pernah menyertai kempen sebelum ini dan saya berharap mereka akan sekali lagi menyokong dan menyertai kempen ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional serta menggalakkan amalan hijau melalui konsep 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle (Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula).

    “Pada hari kempen ini dijalankan, pengguna akan dicaj 20 sen bagi pembelian setiap beg plastik. Caj ini bukan bertujuan mengambil keuntungan daripada beg plastik tetapi bagi memberikan nilai kepada beg plastik itu sendiri agar ia diguna semula dan tidak buang sesuka hati.

    “Caj itu akan dikutip oleh Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar Kota Kinabalu yang diuruskan DBKK dan hasil kutipan akan digunakan untuk membiayai projek-projek alam sekitar,” katanya pada pelancaran Kempen Bawa Beg Bah dan ‘Bandaraya Bersih, Komuniti Sihat’ anjuran Hospital Gleneagles Kota Kinabalu dengan kerjasama DBKK bersempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di sini, semalam.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi. Turut hadir Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Kota Kinabalu Jean-Francois Naa.

    Masidi mengajak orang ramai menyokong kempen itu bagi membantu menjimatkan penggunaan sumber alam dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

    Pada majlis itu, Kamarlin turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program Bandaraya Bersih, Komuniti Sihat antara Hospital Gleneagles Kota Kinabalu dan DBKK, iaitu program angkat membersihkan perparitan dan kawasan sekitar hospital supaya bebas sampah sarap.

    Program pembersihan itu akan dilaksanakan setiap tiga bulan iaitu pada Sabtu minggu kedua. Dalam pada itu, DBKK turut mempelawa pihak berminat untuk bekerjasama dengan mereka dalam aspek penjagaan kebersihan sebagai usaha meningkatkan imej dan identiti bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandaraya yang bersih, hijau dan selesa untuk didiami. — Bernama
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kempen ‘Bawa Beg Bah’ Mulai 1 Ogos Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top