My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 15 June 2017

    Putaran Perspektif Train Station



    FILEM Train Station tidak seperti filem bergenre komersial atau bebas yang lain. Bertemakan soal kepercayaan takdir dan kehidupan, naskhah berdurasi 160 minit tersebut diisi oleh garapan idea oleh 44 sutradara daripada rumpun bangsa, agama dan keturunan yang berbeza. 

    Melihat pada senarai rumah produksi dan kru yang terlibat, idea asal pembikinan filem berkenaan menerusi kesinambungan kreativiti pengarah dari 25 negara boleh dikatakan sebagai format yang agak mustahil. Hal ini kerana, perjalanan cerita dikekalkan tetapi pelakon dan latar tempat berubah apabila watak utama membuat sebarang keputusan.

    Sebagai contoh, pada babak pertama, watak yang hanya dikenali sebagai The Person In Brown berasa sedikit kecewa apabila kereta api yang ditunggunya dikhabarkan lewat tiba. Apabila penjaga tiket stesen kereta api tersebut tidak dapat menjangkakan bilakah kereta api akan tiba, The Person In Brown memutuskan untuk menebus kembali wang pembelian tiket dan pulang ke rumah.

    Pada ketika itu hanya dengan sekelip mata, watak The Person In Brown telah bertukar pelakon, begitu juga dengan lokasi stesen kereta api. Inti utama filem berkenaan terletak pada kaedah suntingan yang digunakan oleh barisan pengarah.

    Pelakon bagi karakter The Person In Brown akan bertukar dan terus bertukar sehingga jawapan atau penyelesaian terhadap persoalannya ditemui. Bagaimanapun, jika sebaliknya yang berlaku, The Person In Brown akan bermula semula dan memilih cadangan atau pilihan yang berbeza.

    Sebilangan pengarah yang terlibat dalam Train Station dilihat bijak memberikan sentuhan berbeza dalam Contohnya, menerusi babak yang menampilkan dua kanak-kanak menaiki sebuah kereta api mini tanpa pengawasan orang dewasa dan The Person In Brown cuba menyelesaikan misteri bawah katil ketika dipenjarakan.

    Uniknya, Train Station turut menampilkan pengarah tempatan, Tony Pietra Arjuna. Pernah menumpahkan sisi kreatifnya untuk filem Cuak pada 2014, Tony berjaya meletakkan nama Malaysia dalam salah sebuah babak secara santai.

    Sayangnya, pada babak tersebut, dua bahasa sahaja yang digunakan iaitu Inggeris dan Cina. bahasa Melayu iaitu bahasa rasmi negara asal pengarah terbabit hanya kedengaran menerusi perkataan teh tarik. Tidak seperti produksi dari Indonesia dan Filipina, pengarah dari dua negara tersebut menggunakan bahasa ibunda mereka secara keseluruhan.

    Filem Train Station merupakan sebuah naskhah yang perlu diberi perhatian. Biarpun sedikit berat, ia begitu sarat dengan nilai murni dan pengajaran. Pada masa sama, filem tersebut turut memperlihatkan perubahan yang berlaku pada sebuah watak jika ia dilakonkan oleh pelakon yang berbeza dengan bahasa dan latar tempat berlainan.

    Dalam erti kata lain, setiap pilihan yang dibuat oleh sesiapapun bakal memberikan impak berbeza pada laluan kehidupan untuk jangka masa panjang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Putaran Perspektif Train Station Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top