My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 13 June 2017

    Keganasan Rumah Tangga Tiada Penghujung



    Suami merupakan nakhoda yang mengemudi bahtera dalam melayari hubungan kekeluargaan. Jika nakhoda itu mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang baik, maka pelayaran tersebut pasti selamat sampai ke destinasi yang dituju. Namun, jika tanggungjawab itu tidak diendahkan atau diambil mudah, hanya masa yang menjadi penentu karamnya bahtera tersebut. 

    Itulah gambaran paling mudah untuk menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seorang suami terhadap keluarga, termasuk isterinya. Saat suami bersalaman dengan jurunikah dan mengucap akad, ketika itulah termeterainya tanggungjawab seorang suami.

    Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, asas kepada sebuah keluarga harmoni adalah hubungan suami isteri yang baik. “Suami memainkan peranan penting dalam memastikan setiap keperluan ahli keluarga mencukupi termasuk isteri. 

    “Bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat ahli keluarga yang akan melakukan kesilapan sama ada isteri mahupun anak-anak.

    Kreatif

    “Namun, ketika itu suami seharusnya lebih kreatif memberi teguran. Bukannya dengan kekerasan,” katanya baru-baru ini. Bagaimanapun, kes melibatkan keganasan rumah tangga semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

    Media baru-baru ini melaporkan, seorang pegawai polis tergamak menembak mati isterinya yang hamil dua bulan di Kampung Kakai, Serian, Sarawak. Mangsa, Siti Nadirah Abdullah, 33, ditemui mati ditembak pada leher dan kepala oleh suaminya yang merupakan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor di sebuah balai polis di Belaga, Sarawak.

    Difahamkan, pasangan itu mendirikan rumah tangga kira-kira setahun lalu. Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Saga BLM. Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap di Matang, Kuching kira-kira 80 kilometer dari lokasi kejadian. Kejadian itu berpunca daripada rasa marah selepas mengesyaki wanita tersebut berlaku curang. Ujian air kencing mendapati, inspektor polis itu positif mengambil jenis syabu.

    Dalam perkembangan lain, perbuatan seorang suami menyepak muka isteri kerana enggan mengikutnya pulang ke rumah ibu mertua berbalas selepas Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas tertuduh awal tahun lalu.

    Tertuduh, Sahabuddin Ahmad, 39, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Sahabuddin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya, Siti Norlizawati Ahmad, 34, di bahagian gigi dengan menggunakan kaki di Lot 487, Batu 2, Jalan Pengkalan Chepa kira-kira pukul 11 pagi pada 20 Disember 2016.

    Tertuduh kemudian dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Disember 2016. Isu keganasan rumah tangga bukan satu perkara asing lagi bagi masyarakat kita. 

    Bagaimanapun, isu itu tidak seharusnya berlanjutan sehingga kini. Menurut Pakar Sosiologi Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi, masyarakat seharusnya memainkan peranan untuk mengambil peduli perkara yang berlaku di sekeliling.

    “Jika masyarakat lebih prihatin terhadap persekitaran, jenayah melibatkan rumah tangga dapat dikurangkan. Individu yang terlibat dengan keganasan rumah tangga berkemungkinan mempunyai masalah dalam kawalan tingkah laku. Justeru, kita perlu jaga tepi kain orang dan melaporkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin jika berlaku perkara mencurigakan di sekeliling kita,” jelasnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Keganasan Rumah Tangga Tiada Penghujung Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top