My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 30 June 2017

    Malaysia Salah Guna Kuasa



    SETIAUSAHA Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Datuk Seri Azzuddin Ahmad (gambar) mengesahkan, Vietnam dan Laos telah mengemukakan bantahan rasmi terhadap Malaysia yang didakwa mahu menggunakan ‘kuasa’ sebagai pasukan tuan rumah Sukan SEA 2017 untuk memilih kumpulan mana yang mereka mahu bagi acara bola sepak. 

    Jelas Azzuddin, bantahan daripada kedua-dua negara gabungan ASEAN tersebut ada asasnya ke­rana peraturan yang diguna pakai sebelum ini adalah pasukan tuan rumah bersama juara edisi terbaharu masing-masing diletakkan dalam kumpulan berasingan sebelum undian dijalankan.

    Begitupun katanya, Malaysia dilihat tidak mahu menggunakan pendekatan tersebut dan mahu juara terdahulu, Thailand dan finalis, Myanmar mengambil alih kedudukan Malaysia selaku tuan rumah. 

    Vietnam dan Laos mendakwa bahawa Malaysia mahu menggunakan ‘kuasa’ selaku tuan rumah Sukan SEA untuk memilih kumpulan mana yang mereka mahu sebaik undian pe­ringkat kumpulan diadakan pada 8 Julai depan.

    Mengulas lanjut, Azzuddin mengakui agak terkejut dengan permintaan ‘luar biasa’ pasukan tuan rumah itu dan mendedahkan pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

    “Kelebihan untuk pasukan tuan rumah adalah untuk memilih kumpulan sahaja sama ada Kumpulan A atau Kumpulan B dan satu lagi pasukan adalah juara Sukan SEA terdahulu, Thailand.

    “Jadi, itu hanyalah keistimewaan. Kalau ikut peraturan yang dikeluarkan OCM atau komuniti Sukan SEA, Malaysia diberi pilihan untuk memilih mana-mana kumpulan yang mereka mahu. Juara dan tuan rumah perlu diasingkan sebelum undian dijalankan, dan bukannya finalis edisi terdahulu yang diasingkan. Itu yang menyebabkan Vietnam dan Laos mengemukakan bantahan secara rasmi.

    “Saya ingat ada perhubungan antara mereka (Vietnam dan Laos) kerana isi kandungan surat itu hampir sama. Mereka mempertikaikan kaedah yang diguna sekarang tetapi saya difahamkan oleh (Setiausaha Agung FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin bahawa perkara ini akan dikaji semula sebelum majlis undian pada 8 Julai nanti.

    “Jadi, asas mereka membuat bantahan itu memang ada kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku yang mana pa­sukan tuan rumah Sukan SEA boleh memilih mana-mana kumpulan yang mereka mahu,” kata Azzuddin kepada pemberita di Shah Alam, semalam.

    Dalam perkembangan sama, Azzuddin meramalkan bahawa beberapa negara lain akan mengikuti jejak langkah Vietnam dan Laos tetapi pada masa yang sama, beliau percaya FAM akan mengkaji semula perkara tersebut.

    “Yang pertama sekali, Vietnam telah menghantar surat bantahan rasmi empat hari yang lalu berhubung kaedah yang diguna pakai oleh Malaysia untuk undian acara bola sepak pada Sukan SEA 2017 nanti.

    “Jadi apa yang mereka pertikaikan adalah peraturan yang dikeluarkan oleh OCM atau yang disediakan oleh FAM itu tidak mengikut amalan biasa yang digunakan sejak beberapa tahun lalu. Selain itu, (kedudukan pasukan) mengikut ranking juga diambil kira,” kata­nya lagi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Malaysia Salah Guna Kuasa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top