Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam meminta maaf kepada rakyat Singapura berkait dengan pertikaian keluarga antara dia dengan adik beradiknya, dan menyuarakan rasa teramat kesal kerana peristiwa itu menjejas reputasi republik itu dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Lee juga berkata, dia akan membuat satu kenyataan menteri untuk menyanggah tuduhan yang dikenakan ke atasnya, apabila Parlimen bersidang pada 3 Julai depan.
“Saya harap perbahasan awal sepenuhnya di Parlimen akan menolak sebarang keraguan yang sudah tertanam dan mengukuhkan keyakinan dalam institusi dan sistem pemerintahan kita,” kata Lee dalam kenyataan itu.
Menurutnya, dia mahu meyakinkan rakyat Singapura bahawa perkara itu tidak akan mengganggu dia dan rakan Kabinetnya daripada tanggungjawab memerintah negara. Lee dan dua adiknya terbabit dalam serangan satu sama lain di Facebook dan media antarabangsa sejak beberapa hari lalu berkait dengan peninggalan harta bapa mereka, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Sengketa antara tiga beradik itu tertumpu pada klausa dalam wasiat terakhir Kuan Yew yang menyatakan kediaman lama keluarga itu perlu dirobohkan selepas kematiannya.
Adik perempuan Lee, Wei Long dan adik lelakinya, Hsien Yang berkata, perdana menteri Singapura itu cuba menghalang rumah itu daripada diroboh kerana mahu mengeksploitasi legasi itu untuk kepentingannya, termasuk membentuk anaknya menjadi pemimpin generasi ketiga Singapura.
0 comments:
Post a Comment