Berang ditegur kerana lewat datang ke tempat kerja menyebabkan seorang lelaki bertindak membelasah penyelianya dalam satu insiden di sebuah syarikat kurier di Jalan Setia Raja di sini, semalam.
Menurut sumber, lelaki berusia 20 tahun itu semasa kejadian dikatakan baharu tiba di tempat kerjanya dan terus meluru ke arah penyelianya yang ketika itu sedang bertugas sekitar jam 8 pagi. Suspek kemudian dikatakan bertindak menumbuk penyelianya selain turut memukulnya menggunakan topi keledar dan kayu sebelum dia dihalang oleh beberapa orang pekerja lain.
“Penyelianya semasa kejadian sedang bertugas apabila suspek yang dalam keadaan marah meluru ke arahnya lalu memukulnya. Perkara tersebut dikatakan berpunca dari ketidakpuasan hati suspek kerana mangsa menegurnya datang lewat bekerja pada Isnin lepas,” kata sumber.
0 comments:
Post a Comment