My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 5 June 2017

    Kecurian Tembaga Dalam Transformer Elektrik Membimbangkan SEB



    Sarawak Energy melahirkan kebimbangan terhadap insiden kecurian tembaga yang menyasar kemudahannya khususnya di wilayah utara yang bukan sahaja mengakibatkan gangguan kuasa, tetapi menjejaskan lampu jalan serta perkhidmatan telekomunikasi. 

    Menurut Naib Presiden Pengagihan Sarawak Energy Siti Aisah Adenan, pencuri semakin hari kian berani merosakkan peralatan elektrikal pada siang hari terutama di kawasan terpencil. Kes baru-baru ini menunjukkan kecurian tembaga membabitkan pengubah (transformer) elektrik terus meningkat di mana pencuri menggeledah peralatan untuk teras pengubah, konduktor tembaga dan kabel bawah tanah.

    “Keselamatan orang awam merupakan keutamaan Sarawak Energy. Dalam kes baru-baru ini, modus operandi pencuri adalah menggunakan kenderaan untuk menarik tiang dipasang transformer sebelum meleraikan teras dan tembaga dalam peralatan tersebut.

    “Ini bukan sahaja membahayakan keselamatan mereka, tetapi juga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Di Bintulu sahaja sejak dua bulan lalu, terdapat 13 kes transformer dirosakkan di sepanjang jalan pesisiran pantai Bintulu-Miri, Jalan Bakun dan juga di Sebauh dan Tatau, sekali gus menelan kos sebanyak RM390,000 untuk menggantikan peralatan yang rosak.

    Corak serupa turut berlaku di Miri dengan kes terbaharu di Jalan Lutong-Kuala Baram yang menjejaskan dua tiang dipasang transformer. Transformer dirosakkan itu membekalkan kuasa kepada pelanggan di kawasan Kuala Baram serta lampu-lampu jalan sepanjang Jalan Kuala Baram ke Jambatan ASEAN.

    Tindakan tidak bertanggungjawab itu menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya apabila jalan raya sepanjang lapan kilometer (KM) menuju ke Kuala Baram gelap tanpa cahaya pada waktu malam.

    Satu lagi insiden menyasar pengubah elektrik berlaku sebelum sambutan Hari Gawai yang mengakibatkan gangguan kuasa ke Batu Niah dan Bekenu. Kedua-dua insiden itu di Miri yang berlaku dalam tempoh seminggu, menelan perbelanjaan anggaran sebanyak RM120,000 untuk menggantikan peralatan serta membaiki kerosakan.

    “Sarawak Energy telah meningkatkan rondaan dan berjaya mematahkan dua cubaan di Bintulu dan dua lagi kes cuba merosakkan kemudahan di Miri. Pasukan wilayah kita juga bekerjasama rapat dengan polis untuk membanteras jenayah berbahaya ini,” katanya.

    Tahun 2015 merekodkan 429 kes kecurian tembaga yang menyasar kemudahan elektrik Sarawak Energy dan syarikat itu telah menanggung perbelanjaan lebih RM5.2 juta untuk menggantikan peralatan yang rosak dan dicuri sejak dua tahun lepas.

    Sementara usaha telah diperkasa dari segi keselamatan dan pemantauan, Sarawak Energy terus meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan insiden kecurian tembaga atau aktiviti-aktiviti mencurigakan sekitar kemudahannya.

    Orang ramai boleh menghubungi Sarawak Energy menerusi pusat panggilan 24-jam di 1-300-88-3111. Laporan juga boleh dimasukkan ke aplikasi mobil Sarawak Energy, ‘SEB Cares’ yang boleh dimuat turun di Apple’s App Store untuk iOS dan Google’s Play.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kecurian Tembaga Dalam Transformer Elektrik Membimbangkan SEB Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top