Mengalami gangguan tidur pastinya menghalang seseorang daripada mendapatkan waktu tidur yang cukup dan ini mengakibatkan rasa letih yang keterlaluan pada sebelah siang, seterusya berisiko untuk tertidur tanpa sengaja ketika memandu. Sesiapa saja boleh berdepan dengan risiko daripada gangguan tidur seperti penyakit berhenti nafas sewaktu tidur akibat salur pernafasan terhalang (OSA).
Dianggarkan penghidap OSA yang memandu adalah enam hingga 15 kali lebih cenderung mendapat kemalangan jalan raya berbanding individu yang tidak mempunyai masalah terbabit.
Masalah perubatan ini sering tidak didiagnos yang mungkin terjadi disebabkan sikap segelintir penghidap OSA yang enggan mendapat rawatan kerana bimbang lesen memandunya dibatalkan terutama mereka yang bekerja dalam bidang pengangkutan.
Menurut kajian bagi mengenal pasti kumpulan berisiko tinggi menghadapi OSA dalam kalangan pemandu lori yang dibentangkan dalam laporan tahunan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) 2012, gangguan tidur ini dianggap sebagai satu daripada faktor risiko kemalangan jalan raya.
Di Malaysia, tahap gejala dan risiko OSA dalam kalangan pemandu lori komersial tidak diketahui. Disebabkan itu, kajian berkenaan dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti kelaziman kumpulan yang berisiko menghadapi OSA dalam kalangan pemandu lori.
Kajian itu yang dilakukan secara tinjauan silang (cross sectional) membabitkan 130 responden berusia 22 hingga 70 tahun yang dipilih daripada syarikat logistik yang beroperasi di Lembah Klang dan memandu di Semenanjung Malaysia. Soal selidik Berlin digunakan sebagai alat saringan bagi mengklasifikasi kumpulan berisiko menghadapi OSA selama tiga bulan.
Saringan OSA berdasarkan soal selidik itu menunjukkan bahawa kira-kira 14.6 peratus responden dikategorikan sebagai mempunyai risiko yang tinggi menghadapi OSA, manakala 85.4 peratus mempunyai risiko yang rendah terhadap gangguan tidur itu. Risiko OSA meningkat sehingga usia 54 tahun.
Kajian juga mendapati bahawa indeks jisim tubuh (BMI) dan lilitan leher adalah lebih tinggi dalam kumpulan yang berisiko tinggi menghadapi OSA daripada kumpulan yang berisiko rendah. Purata BMI dalam kumpulan yang berisiko tinggi menghadapi OSA adalah 30.6 iaitu dalam kategori obes atau berat badan berlebihan.
Sementara itu, dalam kajian berasingan terhadap 128 pemandu bas ekspres dengan menggunakan ujian tidur (polysomnography) menunjukkan 28.7 peratus mempunyai OSA ringan, sembilan peratus mempunyai OSA sederhana dan 6.6 peratus pula menghidap OSA teruk.
Dapatan daripada kajian ini menyokong keperluan untuk mengenal pasti kumpulan yang berisiko menghadapi OSA dalam kalangan pemandu lori komersial. Memandangkan OSA memberi kesan sampingan yang serius, usaha untuk penyaringan awal OSA terhadap pemandu kenderaan komersial perlu diberi perhatian.
Selain itu, MIROS menerusi projek penyelidikan keselamatan kenderaan dan biomekanik (VSB) mengkaji kualiti tidur dan tingkah laku pemandu lori serta hubungannya dengan kemalangan. Seramai 130 pemandu lori daripada satu syarikat logistik di Lembah Klang mengambil bahagian dalam kajian ini.
Dua penilaian dijalankan terhadap pemandu membabitkan Indeks Kualiti Tidur Pittsburg (PSQI) dan Soal Selidik Tingkah Laku Pemandu Manchester (DBQ). Soalan tambahan yang tidak terdapat dalam PSQI dan DBQ terutamanya yang berkaitan dengan kemalangan juga ditanya.
Didapati 35 peratus pemandu mempunyai kualiti tidur yang rendah dan hampir separuh pemandu dengan kualiti tidur yang rendah itu berusia antara 41 hingga 50 tahun. Pemandu yang mempunyai pengalaman kurang dari 10 tahun memandu lori juga lebih kerap terbabas dan mengalami kemalangan berbanding pemandu lebih berpengalaman.
Bagaimanapun, hasil kajian ini tidak menggambarkan situasi sebenar populasi pemandu lori kerana responden yang disoal selidik bekerja dengan syarikat yang sama. Apapun, dapatan daripada penyelidikan ini adalah penting supaya penilaian dan penambahbaikan dasar semasa boleh dilakukan untuk mengurangkan kemalangan dalam kalangan pemandu lori atau kenderaan berat lain.
Perunding Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pantai Klang, Dr Rajveer Singh Saren berkata, penghidap OSA tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana sering terbangun akibat pernafasannya terhenti seketika atau tersekat-sekat beberapa kali ketika tidur.
Hal ini disebabkan wujud halangan pada saluran udara atas berikutan kelonggaran otot dan tisu lembut yang gagal untuk memastikan saluran udara terbuka.
“OSA adalah masalah biasa tetapi serius kerana proses pernafasan penghidapnya berhenti kira-kira 10 saat atau lebih berulang kali. Dengan pernafasan yang terhenti ini aras oksigen dalam darah berkurangan dan menghantar isyarat ke otak supaya mereka terjaga untuk bernafas seperti sedia kala.
“Gangguan sebeginilah yang menyebabkan kualiti tidur terjejas dan tidur yang tidak cukup menghasilkan rasa mengantuk berlebihan pada sebelah siang. Penghidap OSA juga lebih mudah tertidur ketika memandu kerana kualiti tidurnya yang terjejas.
“Pendek kata, penghidap OSA mudah penat dan hilang tumpuan untuk melakukan aktiviti rutin. Situasi ini sudah tentunya berbahaya buat mereka yang bekerja sebagai pemandu. Banyak kajian juga mendapati bahawa OSA antara punca kemalangan membabitkan kenderaan bermotor,” katanya.
Katanya, penyakit berhenti nafas sewaktu tidur yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan masalah kesihatan lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit berkaitan kardiovaskular. “Tidak dapat tidur yang cukup pasti memberi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal, menjejaskan kognitif yang menyebabkan kemerosotan tumpuan dan prestasi serta mendatangkan komplikasi kepada kesihatan mental.
“Malah, kurang rehat juga menjejaskan keupayaan untuk berfikir, mengendali tekanan, mengekalkan sistem imun yang sihat dan kawalan emosi. Kita tidak saja boleh tertidur ketika memandu saja, ia juga boleh berlaku di tempat kerja dan sekolah.
“Bagaimanapun, terdapat rawatan yang membantu penghidap penyakit ini meningkatkan kualiti tidur mereka seterusnya memulihkan kualiti kehidupan mereka yang terjejas akibat tidak cukup tidur. Oleh itu, penghidapnya digalakkan menemui doktor atau pakar untuk menjalani pemeriksaan bagi mengetahui tahap masalah mereka,” katanya.
Bagi mendiagnosis gangguan tidur disebabkan OSA, selain memeriksa sejarah perubatan penghidap turut akan menjalani pemeriksaan fizikal secara endoskopi iaitu kamera kecil dimasukkan ke dalam saluran pernafasan bagi mengesan masalah yang menyebabkan halangan dalam laluan udara.
Seterusnya, penghidap menjalani ujian tidur dan doktor akan merekod beberapa pergerakan tubuh ketika tidur seperti kadar denyutan jantung, tahap oksigen dalam darah, pergerakan dada dan abdomen serta pergerakan udara melalui hidung dan mulut. Tanda-tanda OSA seperti dengkuran yang kuat tetapi tidak disedari oleh penghidapnya.
Malah, kebanyakan penghidap OSA tidak tahu bahawa mereka mengalami gangguan tidur dan masalah ini hanya dikesan oleh pasangan atau ahli keluarga atau rakan terdekat yang mendapati penghidap berdengkur dan berhenti bernafas.
“Orang yang memiliki pangkal lidah yang besar, mempunyai rahang pendek atau kecil berisiko menghidap OSA. Masalah kegemukan juga mendedahkan seseorang kepada risiko penyakit ini kerana lemak badan yang berlebihan menghimpit tisu lembut di belakang tekak ke dalam dan meningkatkan tekanan pada otot tekak.
“OSA juga disebabkan masalah hidung tersumbat akibat pelbagai punca seperti polip hidung iaitu ketumbuhan dalam hidung dan hidung senget (septal deviation) sehingga rongga hidung tersumbat sebelah. Ia boleh diatasi dengan pembedahan sama ada membuang ketumbuhan atau membetulkan semula struktur hidung yang senget.
“Bagi masalah OSA yang serius, penghidap disaran menggunakan alat Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) yang memberi tekanan tinggi tetap dan boleh membuka saluran pernafasan bagi memudahkan menghembus angin keluar,” katanya.
Katanya, CPAP membantu membuka saluran pernafasan yang tersumbat dan memudahkan bernafas serta mengurangkan atau menghilangkan dengkuran. Hasilnya, penghidap dapat memperbaiki kualiti tidur dan mendapat rehat yang secukupnya serta bertenaga untuk menjalankan rutin pada siang hari.
Pengurus Jualan Negara, Asia Tenggara-Pasifik Penjagaan Kesihatan Peribadi Tidur dan Respiratori Rumah Philips, Eddie Wong berkata, bagi membantu mereka yang mengalami gangguan tidur mendapatkan tidur yang lena seterusnya mendapatkan waktu rehat yang mencukupi pada waktu malam, pihaknya menghasilkan inovasi CPAP yang mudah digunakan termasuk kanak-kanak.
“Kajian pihak kami menunjukkan bahawa mesin ini membantu kebanyakan penghidap OSA untuk tidur dengan lebih cepat. Ia juga memberi kesan yang nyata untuk menangani pelbagai aspek berkaitan masalah tidur, di samping menggambarkan peningkatan dalam kualiti tidur selepas menggunakan mesin.
“Inovasi baru menerusi Philips Respironics iaitu alat DreamWear yang direka bagi mereka yang mengalami OSA untuk mendapatkan tidur lebih berkualiti dan bernafas secara normal ketika tidur. Terapi saluran pernafasan kepada pesakit ini terlebih dulu disyorkan oleh pakar perubatan untuk menggunakan mesin khas bagi mengurangkan masalah tidur,” katanya.
1. Mengapa tidur penting?
• Kawalan pertumbuhan
• Penyelenggaraan pembangunan otak dan pemulihan pembelajaran
• Kawalan suhu badan
• Pengumpulan memori
• Pengumpulan tenaga
• Menyingkir toksin
• Rejuvenasi tubuh
2. Penyebab kurang tidur
• Amalan baik tidur yang salah
• Kerap terjaga malam
• Penyakit gangguan tidur
• Gaya hidup sibuk
• Ubatan dan alkohol
3. Perkara dibuat untuk amalan tidur yang baik
• Waktu tidur yang sama setiap hari
• Waktu bangun yang sama setiap pagi
• Rajin bersenam
• Bilik tidur yang selesa
• Bilik tidur hanya untuk tidur dan hubungan kelamin
• Ambil ubat yang dipreskripsi saja
• Bersikap tenang dan santai
• Dapatkan tidur siang cukup (antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang) kira-kira 10 hingga 30 minit.
4. Perkara jangan dibuat untuk amalan tidur yang baik
• Jangan bersenam sebelum tidur
• Jangan melakukan aktiviti aktif sebelum tidur
• Jangan ambil minuman kafein sebelum tidur
• Jangan tidur selepas jam 3 petang
• Jangan tidur dengan perut terlalu lapar atau terlalu kenyang
• Jangan bersantai di tempat tidur
• Jangan merokok
0 comments:
Post a Comment