SUAMI isteri warga Indonesia yang terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Tinagat, Tawau, pada 7 Februari lalu, selamat pulang ke Indonesia, semalam.
Konsul Muda Penerangan dan Sosial Budaya Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Firma Agustina berkata, Budiman Muslimin, 27 dan isterinya, Hasmidah Masniaga, 25, pulang ke negara asal mereka dengan menaiki feri dari Tawau.
Difahamkan, mangsa sebelum ini dirawat di tempat perlindungan KRI Tawau selama lebih empat bulan. “Sepanjang tempoh itu, mereka dirawat akibat kecederan dan turut diberikan kaunseling akibat kesukaran menerima kehilangan dua anak mereka berusia setahun dan lima tahun dalam kejadian itu.
“Dalam masa sama juga, mereka antara saksi kejadian terbabit dan dibenarkan pulang ke negara asal. Mereka hanya dibenarkan pulang selepas mendapat kebenaran mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Firma berkata, pasangan itu dihantar ke Pelabuhan Nunukan sebelum dibawa ke daerah asal mereka di Sulawesi, Indonesia. Dalam kejadian 7 Februari lalu, bot dinaiki 15 individu yang dalam perjalanan dari Kampung Batu Payung, Tinagat, Tawau menuju ke Sungai Nyamuk, Indonesia, karam akibat dipukul ombak.
Seramai 10 individu dilaporkan terkorban, manakala lima terselamat termasuk Budiman dan Hasmidah, serta juragan bot. Suami isteri itu terselamat selepas hampir 10 jam berenang dan ditemui oleh pemancing sebelum mereka dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.
0 comments:
Post a Comment