SETIAP kali tibanya bulan Ramadan, pasti ramai memilih untuk berkunjung ke bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah berbuka. Lazimnya, bazar Ramadan menawarkan pelbagai jenis menu tempatan sama ada tradisi atau moden pada harga berpatutan.
Mengambil konsep sama, Lanjut Beach & Golf Resort, Kuala Rompin, Pahang mengajak orang ramai merasai pengalaman berbuka puasa dengan pelbagai hidangan menyelerakan di Restoran Baju D’ Lanjut.
Tahun ini, restoran yang terletak berhampiran Taman Negara Endau Rompin itu menawarkan lebih 100 menu tempatan terbaik sepanjang Ramadan. Pelanggan berpeluang menikmati nasi putih bersama lauk-pauk seperti gulai lemak nangka, ikan masin, daging masak hitam dan rebung masak lemak udang. Selain itu, daging gulai kawah, lala masak lemak cili api dan pajeri nanas.
Kepada yang menggemari ulam-ulaman, daun selom, daun pegaga, ulam raja, jantung pisang lengkap bersama sambal belacan, budu dan tempoyak turut disediakan. Pihak restoran turut menghidangkan kerabu kacang botol, kerabu ayam, kerabu pucuk paku dan nasi ulam.
Selain itu, jeruk betik, jeruk mangga, jeruk kelubi, keropok ikan, serunding ayam, serunding ikan dan serunding daging disajikan sebagai pembuka selera. Pengunjung juga boleh menikmati sajian menarik lain seperti nasi Arab, kambing panggang, teppanyaki ayam, martabak diraja, roti canai dan ikan bakar Kuala Rompin.
Para pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat cef-cef restoran menyediakan setiap hidangan iftar. Kemudahan surau turut disediakan kepada pengunjung beragama Islam yang ingin menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih.
0 comments:
Post a Comment