Antonio Conte dari Chelsea dinamakan sebagai Pengurus Terbaik Tahunan pada majlis anugerah Persatuan Pengurus Liga kelmarin selepas mengemudi pasukannya memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta layak ke final Piala FA.
Pengendali dari Itali berusia 47 tahun itu, pasukannya berakhir tujuh mata di depan pasukan tangga kedua Tottenham Hotspur, akan membimbing Chelsea menentang Arsenal pada final Piala FA di Wembley, Sabtu ini.
Kutipan 93 mata Chelsea adalah jumlah kedua tertinggi keseluruhan sejak Liga Perdana bermula pada 1992 dan mereka muncul kelab pertama Liga Perdana mencatat 30 kemenangan dalam satu musim.
“Saya fikir saya mempunyai banyak emosi menakjubkan dalam musim sulung saya di England. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada anda yang mengundi saya. Hebat untuk menerima anugerah ini. Saya harap saya berhak menerimanya,” kata Conte.
“Juga amat fantastik untuk membaca semua nama yang pernah memenangi trofi ini dan untuk berada dalam kalangan mereka satu pencapaian hebat buat saya. Saya harap dapat terus bertindak baik,” katanya selepas menerima anugerah itu daripada bekas pengurus Manchester United, Alex Ferguson.
Chris Hughton, 58, dinamakan sebagai pengurus terbaik tahunan Liga Kejuaraan selepas mengemudi Brighton & Hove Albion ke Liga Perdana sebagai naib juara kepada Newcastle United.
0 comments:
Post a Comment